Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Diplomasi Dengan Junta Myanmar Bukan Tanda Pengiktirafan - Kamil Munim

JUNTA
Kredit: Bernama

Pendekatan Malaysia mengadakan rundingan dengan kepimpinan junta Myanmar tidak boleh ditafsirkan sebagai tanda pengiktirafan atau persetujuan terhadap tindakan rejim berkenaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kritikan terhadap hubungan dengan kepimpinan Myanmar wajar didengar, namun isu itu perlu dilihat berdasarkan fakta dan prinsip diplomasi yang diamalkan Malaysia.

Kenyataan itu dibuat susulan pandangan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang membangkitkan persoalan mengenai risiko legitimasi berhubung pendekatan ‘karpet merah’ terhadap ketua junta Myanmar.

“Kekejaman terhadap rakyat Myanmar tidak boleh diputihkan, dan pendirian Malaysia mengenai Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN juga tidak harus dikompromikan.

“Namun kita juga perlu berlaku adil terhadap fakta. Perundingan dan dialog adalah sebahagian daripada kaedah diplomasi. Ia tidak wajar dianggap sebagai isyarat pengiktirafan dan persetujuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Kamil, membuka ruang komunikasi dengan pihak yang terlibat dalam konflik tidak bermaksud Malaysia mengetepikan pendirian terhadap kekejaman atau bersetuju dengan tindakan mereka.

Katanya, sejarah diplomasi Malaysia turut memperlihatkan beberapa keadaan apabila negara memilih untuk berunding dengan pihak yang mempunyai pendirian berbeza demi mencari jalan menghentikan konflik.

Beliau memberi contoh Rundingan Baling pada 1955 apabila Tunku Abdul Rahman bertemu Chin Peng, selain keputusan Tun Abdul Razak mengadakan lawatan ke Beijing pada 1974 sebelum Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.

“Adakah Tun Razak menjadi komunis kerana berjabat tangan dengan Mao? Tentunya tidak,” katanya.

Muhammad Kamil berkata, Malaysia juga pernah memainkan peranan sebagai fasilitator rundingan damai antara kerajaan Filipina dengan MILF selain membantu proses damai di Selatan Thailand.

Dalam isu Myanmar, katanya, Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 turut mengadakan hubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing dan wakil National Unity Government (NUG).

Pendekatan berkenaan selaras dengan usaha ASEAN ketika itu untuk mengadakan penglibatan inklusif dengan pihak berkepentingan di Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap krisis berkenaan.

“Pendekatannya jelas, bercakap dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mencari jalan keluar kepada krisis,” ujarnya.

Justeru, Muhammad Kamil berkata, perbahasan mengenai istilah ‘karpet merah’ tidak seharusnya mengalih perhatian daripada persoalan utama mengenai perkara yang dituntut Malaysia dalam setiap rundingan.

“Persoalan yang lebih penting ialah apakah yang Malaysia tuntut di meja rundingan?

“Penghentian keganasan, pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN, akses bantuan kemanusiaan serta dialog politik yang inklusif,” tegasnya.

Pendirian Malaysia terhadap krisis Myanmar sememangnya berteraskan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN, yang antara lain menekankan penghentian keganasan, bantuan kemanusiaan dan dialog politik inklusif.

Dalam konteks hubungan dua hala, beliau berkata, Malaysia juga perlu memastikan sebarang penghantaran pulang warga Myanmar dilakukan secara sukarela, bermaruah dan selamat.

“Kita boleh mengecam kekejaman dan pada masa yang sama bercakap dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk menghentikannya. Kedua-duanya tidak bercanggah.

“Diplomasi adalah keberanian untuk bercakap dengan pihak yang kita tidak setujui apabila keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia menjadi pertaruhannya,” katanya lagi.

Intipati
  • Muhammad Kamil berkata rundingan dengan junta Myanmar bukan tanda pengiktirafan atau persetujuan Malaysia.
  • Beliau menegaskan dialog diplomatik penting untuk menuntut penghentian keganasan dan bantuan kemanusiaan.
  • Malaysia turut berhubung dengan junta Myanmar dan NUG ketika menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan