Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Disangka Tersalah Sembur Papan Iklan Bergambar Api, Sistem Pemadam Kebakaran AI Rupanya Kesan Haba Dapur Barbeku

Pemadam Kebakaran AI
Kredit: Xiaohongshu

Sistem pemadam kebakaran menggunakan kecerdasan buatan (AI) di sebuah pusat peranginan ski di China mencuri tumpuan selepas mengaktifkan semburan air ke arah papan iklan yang memaparkan imej api.

Iklan

Menerusi hantaran di media sosial China, Xiaohongshu, beberapa individu berkongsi video memaparkan sistem pemadam kebakaran automatik itu menyemburkan air ke arah papan iklan berkenaan.

Susulan video itu tular, ramai menyangka sistem berkenaan tersalah mengesan gambar api pada papan iklan tersebut sebagai kebakaran sebenar.

Pemadam Kebakaran AI Sembur Papan Iklan Bergambar Api

Malah, ada pengguna media sosial berseloroh bahawa teknologi AI masih belum mampu membezakan gambar dengan api sebenar.

Bagaimanapun, pihak pengurusan pusat peranginan ski bersama jabatan bomba telah tampil memberikan penjelasan terhadap salah faham tersebut.

Menurut penjelasan mereka, sistem berkenaan sebenarnya mengesan sumber haba daripada dapur arang yang sedang digunakan di belakang papan iklan itu.

Pengesanan tersebut mencetuskan tindak balas automatik peralatan berkenaan, manakala pancutan air yang terkena papan iklan menyebabkan kejadian kelihatan mengelirukan.

Rakaman video dari beberapa sudut turut menunjukkan terdapat dapur barbeku yang sedang berasap di belakang papan iklan tersebut.

Malah, meriam air itu turut dilihat bergerak ke atas dan ke bawah, sekali gus menunjukkan ia bukan sekadar menyembur ke arah papan iklan.

Insiden berkenaan tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau membasahkan barangan milik pengunjung yang berada di kawasan tersebut.

Kakitangan pusat peranginan ski segera menghentikan peralatan itu sebelum memasang penghadang dan membersihkan air yang bertakung di kawasan berkenaan.

Kawasan tersebut kembali beroperasi seperti biasa kira-kira 20 minit kemudian selepas kerja pembersihan selesai dijalankan.

Pihak pengurusan turut mengubah kedudukan dapur arang bagi mengelakkan kejadian sama menimbulkan salah faham pada masa akan datang.

Untuk makluman, sistem pemadam kebakaran automatik seumpama ini lazim digunakan di kawasan luas seperti stadium dan pusat peranginan ski.

Peralatan tersebut menggunakan gabungan pengesanan visual dan sensor inframerah bagi mengenal pasti sumber haba sebelum memancutkan air tepat ke lokasi tertentu.

Berbanding sistem penyembur air tradisional yang meliputi keseluruhan ruang, teknologi ini membantu mengurangkan kerugian akibat semburan air yang tidak diperlukan.

Walaupun penjelasan rasmi sudah diberikan, kejadian itu tetap mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai keupayaan teknologi AI.

Ada yang berpendapat sistem yang hanya bergantung pada pengesanan visual berisiko tersalah mengenal pasti gambar api atau cahaya lampu sebagai kebakaran sebenar.

Malah, pengesanan tanpa pengesahan tambahan seperti suhu dan pergerakan api boleh meningkatkan risiko berlakunya kesilapan seumpama itu.

Kebimbangan mengenai kelemahan pengesanan visual juga pernah dibangkitkan dalam teknologi bantuan pemanduan kenderaan yang menggunakan sistem AI.

Intipati
  • Sistem pemadam kebakaran AI menyembur air ke arah papan iklan bergambar api.
  • Pengurusan menjelaskan sistem mengesan haba dapur arang di belakang papan iklan.
  • Kawasan kembali beroperasi kira-kira 20 minit selepas kakitangan menghentikan peralatan dan membersihkan air.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan