Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ditemui Merayau Oleh Penduduk, ‘Pak Belang’ Mersing Dilaporkan Sudah Mati

Harimau berkenaan yang ditemui penduduk dalam keadaan jinak beberapa hari lalu.

SEEKOR Harimau Malaya jinak yang dijumpai penduduk di Ladang Site 15, Ladang Aramijaya, Mersing, Johor baru-baru ini telah disahkan mati semalam.

Iklan

Kementerian Tanah, Air & Sumber Asli (KTAS) dalam satu kenyataan berkata, bangkainya ditemui di atas bukit berdekatan ladang berkenaan dan sebelum dilapor ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Hasil siasatan awal PERHILITAN mendapati harimau tersebut telah mati sejak dua ke tiga hari lepas, berdasarkan keadaan bangkainya yang mula mereput.

“Siasatan di kawasan persekitaran bangkai pula tidak menjumpai sebarang kesan-kesan harimau ini telah ditembak, dijerat atau disebabkan oleh apa-apa perbuatan khianat yang lain,” jelas KTAS.

Dalam pada itu, KTAS menambah, PERHILITAN optimis bahawa punca kematian Harimau Malaya itu berkemungkinan oleh penyakit Canine Distemper, iaitu sejenis penyakit yang sama dihidapi oleh harimau di Terengganu, Awang Besul pada Julai 2019.

“Ini adalah berdasarkan kepada ciri-ciri harimau yang jinak, tidak takut kepada manusia dan kelihatan air liur meleleh keluar dari mulutnya berdasarkan maklumat orang awam.

“Bagaimanapun, PERHILITAN akan menyiasat dengan lebih lanjut punca kematian Harimau Malaya ini dari pelbagai sudut, sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya, setelah hasil post mortem dijalankan oleh Doktor Veterinar Jabatan PERHILITAN,” kata kenyataan itu lagi.

KTAS menyeru orang ramai agar dapat menyalurkan maklumat terus kepada PERHILITAN melalui talian 1-800-88-5151 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai Harimau Malaya.

Sumber: Facebook Kementerian Tanah, Air & Sumber Asli