Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dr Zulkifli Puji Tindakan Jep Sepahtu Kongsi Rekod Zakat RM1.935 Juta, Jadi Inspirasi Asnaf

JEP
Kredit: Bernama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memuji tindakan pelawak dan bekas penyampai radio, Jep Sepahtu yang berkongsi rekod pembayaran zakat berjumlah kira kira RM1.935 juta bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai langkah berani untuk mempertahankan ketelusan dan integriti, selain menangkis fitnah yang timbul.

Tangkap layar hantaran Facebook Jep Sepahtu.

Menurut Dr Zulkifli, Jep atau nama penuhnya Mohd Nadzri Zainal Abidin turut menjadi inspirasi kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulillah, setinggi tinggi tahniah dan penghargaan buat Sdra. Jep Sepahtu (Mohd Nadzri Zainal Abidin) yang benar benar menjadi wira serta inspirasi kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Kita ambil dari sudut positif, dan doakan yang baik baik untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dr Zulkifli berkata, keterbukaan figura awam seperti Jep juga boleh dijadikan teladan kepada masyarakat mengenai kepentingan menunaikan kewajipan berzakat dengan penuh tanggungjawab.

Katanya, zakat bukan sekadar menyucikan harta, malah berperanan membantu golongan yang memerlukan dan memperkukuh ekonomi ummah.

“Zakat bukan sahaja menyucikan harta, malah menjadi benteng ekonomi serta penyambung hayat buat golongan yang memerlukan.

“Ia mengukuhkan persaudaraan dan keadilan sosioekonomi ummah dengan membela nasib golongan asnaf,” katanya.

Justeru, beliau berharap perkongsian tersebut dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan zakat sebagai instrumen kebajikan dan pengukuhan ekonomi ummah, selain menyemai budaya ketelusan serta integriti dalam melaksanakan tanggungjawab agama.

Terdahulu, Jep memuat naik gambar beberapa resit pembayaran zakat yang dibuatnya setiap tahun menerusi Instagram.

Jep menjelaskan perkongsian itu bukan bertujuan untuk menunjuk nunjuk atau berbangga dengan jumlah zakat yang dibayar, sebaliknya sebagai bukti susulan terhadap perkara yang diperkatakan.

Dalam hantaran sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Astro atas kerjasama menerusi program Sepahtu Reunion dan Sinar yang berlangsung dari 2015 hingga 2025.

Perkongsian itu dibuat ketika nama Jep kembali menjadi perhatian susulan isu berkaitan persahabatan, bayaran serta dakwaan mengenai hak dan pendapatan.

Intipati
  • Dr Zulkifli Hasan memuji Jep Sepahtu kerana berkongsi rekod pembayaran zakatnya.
  • Jumlah zakat dikongsi Jep dianggarkan kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 2016 hingga 2025.
  • Jep menjelaskan perkongsian resit itu dibuat sebagai bukti, bukan untuk menunjuk-nunjuk.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan