Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Selepas menerima pengiktirafan Tripadvisor’s 2024 Traveller’s Choice Award, kumpulan perkusi “Drum Up JB” bakal kembali menggegarkan Panggung Opera Permaisuri Zarith Sofiah, Johor Bahru dengan siri persembahan raih dana berjudul “Drums: A New Beat Beckons” dari 12 hingga 14 September 2025.
Penganjuran kali ini bukan sekadar persembahan seni, sebaliknya bertujuan menjadikan “Drum Up JB” sebagai tarikan budaya kekal di Johor Bahru.
Sejak mencipta kejayaan di lokasi sama pada tahun 2023 dan 2024, “Drum Up JB” berkembang daripada sekadar kumpulan perkusi kepada satu gerakan aktivis budaya. Usaha mereka turut mendukung seni Gendang 24 Perayaan yang diasaskan di Johor Bahru pada 1988 oleh Tan Chai Puan dan mendiang Tan Hooi Song.
Kini, seni tradisi ini telah melahirkan lebih 600 pasukan drum di Asia, Eropah, Amerika Utara dan Afrika. Malah, ia pernah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan Malaysia di bawah kategori ‘Objek Warisan Tidak Ketara’.
“Ramai rakyat Malaysia mungkin tidak tahu bahawa Gendang 24 Perayaan berasal dari Johor Bahru. Kami sangat teruja untuk menyokong pencalonannya ke Senarai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara UNESCO 2026,” kata Lee Sheah Liang, panel penasihat “Drum Up JB”.
“Drums: A New Beat Beckons” sekali lagi menampilkan Pengarah Yeo Lyle, yang turut mengemudi persembahan pada 2024. Pementasan ini mengekalkan akar budaya Gendang 24 Perayaan, namun diperkaya dengan elemen kontemporari untuk menonjolkan keunikan seni Malaysia. “Dalam persembahan lalu, ribuan penonton daripada pelbagai kaum dan lapisan umur hadir meraikan seni ini bersama-sama. Ia satu pengalaman yang indah,” ujar Liang.
Beliau menambah, sasaran utama tahun ini adalah mengumpul dana mencukupi agar “Drum Up JB” dapat kekal sebagai tarikan budaya utama, sama seperti ‘The Lion King’ di Broadway atau ‘Les Misérables’ di West End.
“Apabila anda berkunjung ke Johor pada 2026, Drum Up JB adalah persembahan yang wajib ditonton,” katanya.
“Drums: A New Beat Beckons” merupakan sebahagian daripada Inisiatif Malaysia Madani, dengan sokongan MyCreative Ventures, Digital Districts, 24 Festive Drums Association Malaysia dan Cloudjoi.
Persembahan akan berlangsung dari 12 hingga 14 September 2025 di Panggung Opera Permaisuri Zarith Sofiah, Johor Bahru.
Tiket boleh dibeli menerusi platform Cloudjoi.