Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dua Ban Di Kuala Langat Alami Kerosakan Kecil Akibat Hujan Lebat

SHAH ALAM, 3 Jan – Dua ban di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Labohan Dagang dekat Kuala Langat yang didakwa pecah akibat limpahan air sungai susulan hujan lebat dan air pasang sejak semalam, sebenarnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor Mohd Nazri Yasmin berkata pihaknya selesai membaiki kerosakan ban di Labohan Dagang manakala kerja pembaikan ban di RTB Bukit Changgang dijangka selesai petang ini.

Beliau berkata air sungai yang melimpah menyebabkan kedua-dua ban mengalami hakisan dan sedikit rabak sekali gus mengakibatkan air sungai masuk ke sistem perparitan kawasan tersebut.

“Situasi itu dapat dikawal. JPS menggunakan pam mudah alih untuk mengeluarkan air dan keadaan tersebut tidak menjejaskan penduduk,” katanya yang dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata kira-kira 150 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan memantau kedua-dua ban itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Pada peringkat awal ini, kekuatan anggota meliputi polis, Angkatan Tentera Malaysia, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Majlis Perbandaran Kuala Langat. Kalau perlukan tambahan, kita akan minta sumber bantuan lain.

“Anggota agensi sudah ditempatkan di situ sejak semalam namun lebih fokus di sekitar kawasan Banting susulan banjir di Sungai Nangka dan Kelanang. Hari ini, fokus kami di sini,” katanya yang dihubungi.

Beliau berkata perbincangan juga sedang diadakan untuk menyelaras operasi antara agensi sekiranya memerlukan pemindahan penduduk.

— BERNAMA