Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Dua Beranak Antara Tiga Ditahan Dipercayai Terlibat Sindiket Edar Dadah

Iqbal Yasir
dua beranak edar dadah
Gambar: Bernama

Dua Beranak Antara Tiga Ditahan Dipercayai Terlibat Sindiket Edar Dadah

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) — Ibu dan anak merupakan antara tiga individu yang ditahan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah, membabitkan rampasan bernilai RM1.23 juta dalam serbuan sekitar daerah ini dan Iskandar Puteri pada 10 hingga 14 Jan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata wanita berusia 61 tahun dan anak lelaki berusia 40 tahun serta seorang rakan lelaki berusia 59 tahun itu, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dalam satu operasi khas.

Beliau berkata ketiga-tiga individu itu dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dalam pasaran tempatan, semenjak Oktober tahun lepas.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan sebuah pangsapuri yang disewa di sini sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

“Malah, sindiket yang dipercayai didalangi lelaki berusia 40 tahun itu, turut melakukan kerja-kerja memproses dan membungkus dadah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

BACA: Tak Perlu Beli, Lelaki Kongsi Tip Tanam Cendawan Tiram Kat Rumah

Beliau berkata rampasan dadah bernilai RM1.23 juta itu antaranya melibatkan sebanyak 16.47 kilogram serbuk ekstasi, 7.77 kilogram ganja dan 1.77 gram syabu.

Kamarul Zaman berkata polis turut merampas pelbagai peralatan mencetak pil ekstasi termasuk pencetak, pengisar, penimbang, loyang, penapis dan lima butir peluru hidup.

Sementara itu, beliau berkata hasil siasatan mendapati, lelaki berusia 40 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 46 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah selain dikehendaki dalam enam kes membabitkannya.

Beliau berkata tahanan reman ketiga-tiga individu tersebut disambung sehingga 23 Jan setelah ditahan seminggu sejak 11 Jan lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Sumber: BERNAMA