Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dua Gempa Bumi Kuat Gegar Venezuela

Dua Gempa Bumi

Dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda kawasan yang sama di Venezuela pada Rabu (waktu tempatan).

Memetik laporan AFP, kejadian itu menyebabkan bangunan runtuh dan penduduk di Caracas keluar menyelamatkan diri ke jalanan.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada berlakunya kemalangan jiwa akibat gempa itu.

Menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa bumi pertama berada 21 kilometer di barat bandar pesisir Moron dan berlaku sekitar jam 10.04 malam.

Kredit: AFP

Seminit selepas itu, gempa berukuran 7.5 magnitud pula melanda kira-kira 45 kilometer jauhnya.

"Gempa bumi ini merupakan kejadian kedua dalam satu gegaran berganda. Gegaran utama berukuran 7.5 magnitud ini didahului oleh gegaran awal berukuran 7.2 dalam masa 39 saat," kata USGS.

Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello telah meminta orang ramai meninggalkan rumah masing-masing.

Kredit: AFP

Beliau juga berkata bekalan gas telah dipotong di beberapa bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kami mempunyai beberapa struktur yang rosak dan kami tidak mahu sebarang kemalangan yang melibatkan gas berlaku," katanya.

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan oleh wartawan AFP mendapati gegaran kedua telah mencetuskan jeritan panik di sebuah pusat membeli-belah di Caracas.

"Sukar untuk dipercayai, saya tidak tahu berapa lama ia berlaku. Kami keluar melalui tangga kecemasan, begitulah cara mereka mengeluarkan kami," kata pemilik kedai, Heidi Romero.