PARIT, (Bernama) -- Dua pelajar lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencederakan seorang lagi pelajar dengan seterika, pada 19 Sept lepas.
Pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan pelajar berkenaan masing-masing berusia 13 dan 14 tahun dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang boleh mendatangkan kematian ke atas seorang lagi pelajar berusia 13 tahun dengan menggunakan seterika di sebuah maahad tahfiz di sini pada 4 petang, tarikh yang sama.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Jayasri, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Nadrah Badarudin.
Majistret kemudian menetapkan jaminan RM500 setiap tertuduh dan menetapkan 27 Okt untuk tarikh sebutan semula kes.


