Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bukan bermakna rakyat perlu terus turun mengundi pada keesokan harinya.
Sebaliknya, pembubaran DUN menandakan bermulanya beberapa proses pilihan raya yang perlu dilaksanakan mengikut peraturan dan tempoh ditetapkan sebelum pengundi memilih wakil masing-masing.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN, dan selepas pembubaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil alih pengurusan proses pilihan raya sehingga keputusan rasmi diumumkan.
Jadi, apa sebenarnya berlaku selepas DUN Melaka dibubarkan? Jom faham prosesnya.
1. SPR Terima Pemakluman Rasmi Pembubaran DUN
Selepas DUN dibubarkan, SPR perlu menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran berkenaan.
Berdasarkan penerangan rasmi SPR, selepas menerima pemakluman tersebut, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh-tarikh penting pilihan raya.
Antaranya termasuk Hari Penamaan Calon, Hari Mengundi Awal dan Hari Mengundi.
2. SPR Adakan Mesyuarat Khas
Mesyuarat khas SPR menjadi antara langkah penting selepas pembubaran DUN.
Dalam mesyuarat berkenaan, SPR akan menetapkan tarikh bagi proses utama pilihan raya serta mengeluarkan writ pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Writ itu merupakan surat kuasa kepada Pegawai Pengurus untuk melaksanakan pilihan raya di bahagian yang ditetapkan.
Jadi, tarikh penamaan calon dan hari mengundi bukan ditentukan oleh parti politik, sebaliknya ditetapkan oleh SPR mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya.
3. PRN Mesti Diadakan Dalam Tempoh 60 Hari
Ini antara perkara paling penting untuk diketahui.
Perkara 19(4) Perlembagaan Negeri Melaka menetapkan bahawa apabila DUN dibubarkan, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.
Peruntukan sama turut menetapkan DUN baharu hendaklah dipanggil bersidang pada tarikh tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran.
Ini bermakna tempoh 60 hari merupakan had yang ditetapkan perlembagaan dan bukan bermaksud pengundian hanya boleh dilakukan pada hari ke-60.
4. Writ Dan Notis Pilihan Raya Dikeluarkan
Selepas tarikh pilihan raya ditetapkan, SPR mengeluarkan writ kepada Pegawai Pengurus.
Pegawai Pengurus kemudian mengeluarkan notis kepada orang ramai berhubung pilihan raya dan penamaan calon, termasuk masa serta tempat proses penamaan calon.
5. Parti Politik Muktamadkan Calon
Dalam tempoh selepas pembubaran DUN, parti politik pula akan memuktamadkan calon dan pembahagian kerusi yang bakal ditandingi.
Bagi PRN Melaka kali ini, tumpuan antaranya adalah kepada calon yang akan diketengahkan setiap parti serta bentuk kerjasama politik yang akan digunakan.
Bagaimanapun, siapa yang bertanding di setiap kawasan hanya dapat diketahui secara rasmi selepas proses penamaan calon selesai.
6. Hari Penamaan Calon
Pada hari yang ditetapkan SPR, individu yang mahu bertanding perlu menyerahkan kertas penamaan kepada Pegawai Pengurus mengikut prosedur ditetapkan.
SPR menerangkan bahawa penamaan calon merupakan proses bagi membolehkan calon yang layak menyerahkan kertas penamaan bersama pencadang dan penyokong dalam tempoh yang ditetapkan.
Selepas proses itu selesai, barulah dapat diketahui sama ada sesuatu kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu, tiga penjuru atau lebih.
7. Kempen Bermula
Selepas penamaan calon, calon dan parti yang bertanding akan memasuki tempoh kempen sehingga sebelum hari mengundi.
Pada ketika ini, pengundi akan mula menilai tawaran, manifesto dan perancangan yang dibawa oleh calon serta parti masing-masing.
Kempen boleh berlangsung melalui pelbagai saluran termasuk ceramah, pertemuan bersama pengundi dan platform digital, tertakluk kepada undang-undang serta peraturan pilihan raya.
8. Pengundian Awal Dan Hari Mengundi
Bagi pemilih yang layak mengundi awal, pengundian akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan SPR.
Peraturan pilihan raya menetapkan tarikh pengundian awal dan hari mengundi dinyatakan dalam notis pilihan raya yang dikeluarkan selepas writ dikeluarkan.
Pada hari mengundi pula, pengundi yang layak dan berdaftar hadir ke pusat mengundi yang ditetapkan sebelum membuat pilihan bagi kawasan DUN masing-masing.
Undi kemudiannya dikira dan keputusan bagi setiap kawasan diumumkan oleh Pegawai Pengurus.
9. Siapa Bentuk Kerajaan Negeri?
Selepas keputusan rasmi diketahui, perhatian akan beralih kepada pembentukan kerajaan negeri.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN, jadi pembentukan kerajaan bergantung kepada parti atau gabungan yang memperoleh sokongan majoriti dalam DUN.
Pelantikan Ketua Menteri dan pembentukan pentadbiran negeri kemudiannya berlaku mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri Melaka.
Jadi, Bila PRN Melaka?
Tarikh sebenar Hari Penamaan Calon, Pengundian Awal dan Hari Mengundi hanya boleh dipastikan selepas SPR mengumumkannya secara rasmi.
Apa yang sudah ditetapkan dalam Perlembagaan Negeri Melaka ialah pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.
Ringkasnya, DUN bubar → SPR terima pemakluman → mesyuarat khas → tarikh pilihan raya ditetapkan → writ dikeluarkan → penamaan calon → kempen → pengundian → pengiraan undi → keputusan rasmi → pembentukan kerajaan negeri.

