Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Eden Hazard Umum Bersara Daripada Bola Sepak

Fazidi
Eden Hazard bersara
Gambar: IG Eden Hazard

Eden Hazard Umum Bersara Daripada Bola Sepak

Bintang bola sepak yang mencipta nama dengan Chelsea, Eden Hazard hari ini mengumumkan persaraan daripada pentas bola sepak profesional, sebentar tadi.

Berita yang pastinya membuatkan ramai peminat sukan itu bersedih dikongsikan oleh Eden melalui satu hantaran di Instagram sebentar tadi.

”Anda perlu mendengar isi hati anda sendiri dan berhentilah apabila tiba waktunya. Selepas 16 tahun dan lebih 700 perlawanan, hari ini saya mengambil keputusan untuk bersara sebagai pemain bola sepak profesional.

”Saya gembira kerana saya berjaya merealisasikan impian saya. Dapat bermain dan beraksi dengan penuh rasa gembira di atas banyak padang bola sepak di seluruh dunia.

”Dalam tempoh itu juga, saya bertemu dengan ramai pengurus, jurulatih dan rakan sepasukan yang hebat. Terima kasih di atas semua memori yang indah ini dan saya pasti merindui anda semua.

Eden Hazard umum bersara sebagai pemain bola sepak profesional

”Saya juga ingin berterima kasih kepada kelab-kelab yang pernah saya wakili. Lille, Chelsea dan Real Madrid serta terima kasih juga kepada Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA).

”Terima kasih yang tak terhingga juga ditujukan kepada ahli keluarga, rakan-rakan, penasihat dan untuk anda semua yang ada dengan saya ketika senang dan susah.

”Akhir sekali, terima kasih kepada anda semua (peminat) yang menyokong saya tidak kira kelab apa yang saya wakili selama ini. Terima kasih kerana selalu menjadi pembakar semangat.

”Kini, tiba masanya untuk saya meluangkan masa dengan orang tersayang dan merasai pengalaman baru. Jumpa lagi di luar padang, kawan,” katanya.

Warna-warni karier Hazard

Hazard memulakan karier profesionalnya bersama kelab Perancis, Lille. Bersama kelab tersebut, beliau menjaringkan sebanyak 50 gol dalam 149 penampilan. Pada musim 2010/11, Hazard berjaya membantu Lille menjulang dua trofi domestik iaitu Ligue 1 dan Coupe de France.

Aksi cemerlang bersama Lille menyaksikan beliau disambar oleh gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada 2012. Bersama The Blues, Hazard benar-benar mencapai potensinya untuk menjadi pemain berkelas dunia.

Kelincahan di atas padang bersama Chelsea mebuatkan beliau sering dicanang sebagai dribbler terbaik yang pernah beraksi di EPL, khususnya dalam kalangan peminat tegar beliau.

Pada musim 2014/15, Hazard dipilih PFA Player Player’s of the Year. Secara keseluruhan, Hazard membuat sebanyak 352 penampilan bersama Chelsea dalam semua kejohanan dan menjaringkan sebanyak 110 gol.

Beliau juga berjaya membantu Chelsea meraih beberapa kejuaraan antaranya menjulang Piala Europa menewaskan Arsenal pada 2019.

Musim seterusnya, Hazard berpindah menyertai gergasi La Liga, Real Madrid. Namun begitu, nasib beliau tidak begitu baik apabila kerap dihimpit masalah kecederaan yang sekaligus membataskan peluangnya untuk beraksi secara kerap untuk Los Blancos.

Hazard hanya membuat sebanyak 76 penampilan dan menjaringkan sebanyak 7 gol sahaja dalam semua pertandingan untuk Real Madrid.

Walau bagaimanapun, bersama Real Madrid, Hazard berjaya menambah beberapa koleksi trofi antaranya trofi La Liga, Liga Juara-juara Eropah, Piala Kelab Dunia dan Piala Super Eropah.

BACA: Hukum Sertai Maraton Dianjur Syarikat Riba, Ini Kata Dr Zulkifli

Sumber: Eden Hazard, BBC