Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jenama pakaian global dari Jepun, UNIQLO, hari ini mengumumkan pelantikan pemain tenis nombor satu Britain, Emma Raducanu sebagai Duta Jenama Global terbaharu mereka.
Raducanu, juara US Open 2021 dan wanita Britain pertama memenangi gelaran perseorangan Grand Slam sejak 1977, akan mula mewakili UNIQLO di semua kejohanan tenis bermula dengan Indian Wells Open di Amerika Syarikat pada Mac ini.
Sebagai Duta Jenama Global, Raducanu akan berganding bahu bersama barisan duta terkenal UNIQLO seperti legenda tenis Roger Federer, ikon tenis kerusi roda Shingo Kunieda serta pelakon pemenang Anugerah Akademi Cate Blanchett.
Mereka bersama-sama mempromosikan falsafah LifeWear, yang menekankan usaha berterusan ke arah kecemerlangan, sumbangan positif kepada masyarakat serta sokongan terhadap generasi akan datang.
Menariknya, Raducanu bukan sekadar wajah kempen. Beliau juga akan terlibat secara aktif dalam reka bentuk dan fungsi pakaian yang dipakai ketika perlawanan, memastikan setiap helaian memenuhi keperluan prestasi di gelanggang.
Dalam kenyataannya, Raducanu meluahkan rasa teruja menyertai keluarga UNIQLO dan berkongsi nilai yang sama dari segi kehidupan, budaya serta peranan dalam masyarakat.
Selain mempromosikan LifeWear menerusi kerjaya tenisnya, beliau juga akan terlibat dalam pelbagai inisiatif komuniti global, termasuk program pembangunan generasi muda seperti UNIQLO Next Generation Development Program, sesi kejurulatihan untuk pemain tenis muda berbakat serta sokongan kepada komuniti memerlukan melalui inisiatif Peace for All dan The Heart of LifeWear.
Sementara itu, Koji Yanai, Group Senior Executive Officer Fast Retailing, menyifatkan Raducanu sebagai individu berani dan proaktif yang kekal tenang walaupun berdepan tekanan tinggi di gelanggang. Menurutnya, nilai peribadi dan komitmen Raducanu terhadap keluarga serta masyarakat menjadikan beliau duta yang ideal untuk membawa perubahan positif bersama UNIQLO.
Dengan pelantikan ini, UNIQLO bukan sahaja memperkukuh kedudukannya dalam dunia sukan global, malah terus menegaskan komitmen terhadap pembangunan belia dan impak sosial yang lebih luas.