KULIM, 14 Sept (Bernama) -- Dua kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut manakala dua lagi dikejarkan ke hospital selepas mereka dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Syamsul Sinring berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 7.30 malam dan dua kanak-kanak lelaki yang dibawa ke hospital berusia 11 dan lapan tahun.
“Maklumat awal yang diterima mengatakan empat kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang.
“Anggota telah ke tempat kejadian dan mendapati dua kanak-kanak lelaki telah dibawa ke hospital dan dua orang lagi maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut kes itu.


