Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Empat Maut Dalam Insiden Runtuhan Salji Di Broad Peak

BROAD PEAK
Kredit: AFP

Empat Maut Dalam Insiden Runtuhan Salji Di Broad Peak

Sekurang-kurangnya empat pendaki disahkan maut selepas runtuhan salji melanda Broad Peak di Pakistan, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan beberapa lagi pendaki yang dilaporkan hilang.

Memetik laporan Dawn, insiden itu berlaku sekitar tengah hari Khamis ketika sekumpulan 10 pendaki sedang melakukan pendakian ke puncak gunung berkenaan.

Kelab Alpine Pakistan (ACP) memaklumkan kumpulan tersebut terdiri daripada enam pendaki Nepal, seorang pendaki Pakistan, masing-masing seorang dari Oman, Amerika Syarikat dan China.

Presiden ACP, Mejar Jeneral Irfan Arshad berkata, empat mayat berjaya ditemukan setakat ini.

Menurut beliau, dua daripada mangsa yang dikenal pasti ialah pendaki dari Oman, Nadhira Ahmed Abdullah Al Harthy, dan pendaki Nepal, Pur Bahadur Gurung.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Kanan ACP, Karrar Haidri berkata dua helikopter penyelamat Tentera Pakistan telah dihantar ke lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat bersama pasukan khas serta kelengkapan tambahan.

Katanya, ACP terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tertinggi negara dan agensi berkaitan bagi memastikan semua bantuan yang diperlukan dapat digerakkan secepat mungkin, bergantung kepada keadaan cuaca dan operasi.

Sementara itu, Setiausaha Agung ACP, Ayaz Shigri berkata beberapa pasukan ekspedisi memulakan pendakian ke puncak secara serentak sebelum runtuhan salji berlaku.

Menurutnya, data GPS daripada beberapa pendaki yang hilang menunjukkan kumpulan tersebut dihanyutkan runtuhan salji sejauh kira-kira 1,000 meter menuruni cerun sebelum terperangkap.

Beliau turut memaklumkan terdapat kebimbangan beberapa malim gunung tempatan yang membantu pendakian berkemungkinan turut terjejas dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Gilgit-Baltistan, Amjad Hussain mengarahkan semua jabatan berkaitan berada dalam keadaan siap siaga serta mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat dengan kerjasama Tentera Pakistan.

Menteri Pelancongan, Sukan dan Kebudayaan Gilgit-Baltistan, Naiknam Karim pula berkata kerajaan wilayah sedang menggerakkan segala sumber yang ada bagi memastikan semua pendaki yang masih hilang dapat ditemui secepat mungkin.

Intipati
  • Sekurang-kurangnya empat pendaki maut selepas runtuhan salji melanda Broad Peak di Pakistan.
  • Kumpulan 10 pendaki itu terdiri daripada warga Nepal, Pakistan, Oman, Amerika Syarikat dan China.
  • Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan bantuan helikopter Tentera Pakistan dan pasukan khas.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan