Kesatuan Eropah (EU) dilapor mungkin akan membenarkan beberapa negara Eropah menangguhkan sekatan ke atas minyak yang diimport dari Rusia.
Menurut laporan The Guardian, negara Eropah tersebut adalah Hungary, Slovakia dan Republik Czech. Dibawah cadangan baharu tersebut, Hungary dan Slovakia dibenarkan untuk terus membeli minyak dari Rusia sehingga hujung tahun 2024 manakala hingga Jun 2024 bagi Republik Czech.
Ketiga-tiga negara tersebut diketahui sangat-sangat bergantung kepada minyak yang dibekalkan dari Rusia. Malah, Hungary sebelum ini turut menegaskan bahawa negaranya membantah keputusan mengenakan embargo ke atas minyak Rusia.
Bagaimanapun, negara-negara Eropah yang lain dilapor bersedia untuk menyokong keputusan EU untuk melaksanakan embargo ke atas minyak Rusia sekiranya ketetapan tersebut dilaksanakan.
Rusia merupakan pembekal utama bahan api kepada negara-negara Eropah iaitu kira-kira 45 peratus gas asli dan 26 peratus minyak. Jerman merupakan negara utama yang membeli minyak daripada Rusia iaitu kira-kira 555 ribu barel per hari.
Terdahulu, tindakan Rusia menceroboh Ukraine dan melaksanakan operasi ketenteraan khusus ke atas negara jirannya itu menyaksikan negara-negara Eropah yang diketuai Amerika Syarikat melancarkan pelbagai sekatan ekonomi ke atas negara tersebut.
Sekatan demi sekatan menyaksikan matawang Rusia, Rouble dilapor jatuh kepada paras terendah dalam sejarah.
Bagaimanapun, Rusia telah bertindak balas dengan menetapkan mana-mana pihak yang mahu membeli minyak daripadanya perlu membuat bayaran dalam matawang Rouble. Ia menyaksikan matawang Rouble kembali memulih.
Rusia juga menegaskan keputusan terbaharu itu terpakai dalam semua perjanjian pembelian minyak sedia ada dan pihaknya akan menghentikan penghantaran minyak kepada mana-mana negara yang ingkar.
Keputusan yang diumumkan sendiri oleh Putin itu mendapat bantahan daripada pelbagai negara Eropah yang menyifatkannya sebagai pelanggaran kepada kontrak pembekalan sedia ada. Sebelum ini, semua urusan pembayaran dibuat dalam matawa Dollar ataupun Euro.
Sumber: The Guardian, Siakap Keli

