Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Exco Nafi Dakwaan Bukit Bendera Lokasi Perangkap Pelancong
Dakwaan Bukit Bendera disenaraikan dalam 100 perangkap pelancong terbesar di seluruh dunia dalam artikel terbitan USA today adalah tidak benar, kata Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, lapor Sinar Harian.
Hon Wai berkata pengumpulan data hanya dibuat berdasarkan 24 ulasan buruk yang diambil secara rawak sekali gus menafikan dakwaan kenyataan yang dibuat dalam artikel bertarikh 24 Ogos itu.
Jelasnya, data yang dikumpul hanya dikutip menggunakan satu bahasa sahaja dan tidak diambil dari bahasa lain.
“Artikel itu tidak mengambil dari ulasan yang dibuat dalam bahasa lain antaranya bahasa Melayu, Tamil, Mandarin, Arab dan sebagainya serta tinjauan dibuat sangat terhad.
“Rumusan dibuat hanya berdasarkan 24 komen buruk mengenai Bukit Bendera sedangkan jumlah ulasan baik lebih banyak daripada ulasan berkenaan (buruk),” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan Pulau Pinang mengesahkan Bukit Bendera telah menerima kunjungan seramai 47 juta orang sejak 1923.
“Setiap tahun, lebih satu juta pengunjung mengunjungi pusat peranginan yang terletak di Air Itam itu. Kebanyakan mereka adalah pengunjung yang bukan pertama kali datang ke situ.
“Ini menunjukkan, mereka (pengunjung) kembali ke Bukit Bendera kerana terpesona dengan keindahan di situ. Jumlah pengunjung yang direkodkan jelas menunjukkan Bukit Bendera adalah salah satu tarikan utama di Pulau Pinang,” ujarnya.
Beliau turut berkata penambahbaikan sering dilaksanakan di kawasan berkenaan antaranya Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta.
Projek tersebut dijangka akan siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Projek ini akan memberi satu pengalaman baru kepada pelancong Bukit Bendera setelah ia siap kelak,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan akhbar harian Amerika Syarikat, USA Today, telah mendakwa bahawa Bukit Bendera di Pulau Pinang tersenarai dalam 100 tempat perangkap pelancong (tourist trap) dan overrated di dunia.
Menurut analisis tersebut, Bukit Bendera berada di kedudukan kesembilan bagi perangkap pelancong dunia, mengejutkan orang ramai susulan tempat tersebut popular dalam kalangan pengembara global.
Manakala, The Four Corners Monument di Arizona, New Mexico, Colorado dan Utah tersenarai nombor satu dalam perangkap pelancong dunia selepas menerima 139 ulasan buruk daripada 10,839 ulasan yang dianalisis.
Sumber: Sinar Harian