Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

F1 GP Bahrain Jana Impak Ekonomi Hampir RM950 Juta, KBS Masih Nilai Kos Penganjuran

EKONOMI
Kredit: Bernama

Grand Prix (GP) Bahrain Formula 1 (F1) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober lalu dilaporkan menjana impak ekonomi hampir RM950 juta, menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata, berdasarkan angka Formula 1 Management, acara berkenaan menarik kira-kira 261,000 peminat, termasuk sekitar 103,000 penonton pada hari perlumbaan.

Menurutnya, perlumbaan itu turut ditonton kira-kira 827 juta penonton di seluruh dunia, manakala lebih 97,000 tiket berjaya dijual.

Selain itu, acara berkenaan menarik lebih 50,000 pelancong antarabangsa dan kira-kira 5,000 pekerja asing ke Malaysia.

“Kehadiran penonton dari luar negara turut meningkatkan pendapatan sektor pelancongan, hospitaliti dan penerbangan, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, selain mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelaburan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta penjelasan mengenai anggaran manfaat ekonomi berbanding kos yang ditanggung kerajaan, termasuk sama ada penilaian kos dan faedah akan dilaksanakan.

Bagaimanapun, Taufiq berkata, kerajaan masih belum menentukan sama ada penganjuran berkenaan memberikan pulangan yang setimpal kerana penilaian kos dan faedah masih dijalankan.

Katanya, SIC sedang melaksanakan penilaian itu bersama firma perunding yang dilantik bagi meneliti kos penganjuran serta impak ekonomi perlumbaan berkenaan.

“Dapatan penilaian kos dan faedah itu akan menjadi antara pertimbangan kerajaan dalam menentukan sama ada Malaysia wajar mempertimbangkan penganjuran F1 sekali lagi pada masa depan,” katanya.

Pada Julai lalu, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai lokasi penganjuran GP Bahrain Gulf Air dari 2 hingga 4 Oktober susulan perjanjian antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perjanjian itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Untuk rekod, SIC pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 berikutan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Intipati
  • GP Bahrain F1 di SIC dilaporkan menjana impak ekonomi hampir RM950 juta.
  • Acara itu menarik kira-kira 261,000 peminat, termasuk 103,000 penonton pada hari perlumbaan.
  • Kerajaan masih menilai kos dan faedah sebelum memutuskan kemungkinan penganjuran F1 akan datang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan