Semua kementerian dan agensi berkaitan diminta mempercepat serta memudah cara urusan dan kelulusan yang masih tertangguh menjelang penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia yang berbaki kira-kira tiga minggu lagi.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, arahan itu dibuat ketika persiapan perlumbaan berkenaan memasuki fasa akhir, termasuk aspek kesiapsiagaan litar dan keselamatan, pengurusan trafik serta pengunjung dan teknologi.

Katanya, koordinasi rentas kementerian dan agensi perlu berada pada tahap terbaik dalam tempoh kritikal berkenaan bagi memastikan kelancaran penganjuran acara.
“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk petang ini, saya meminta semua kementerian dan agensi mempercepat serta memudah cara segala urusan dan kelulusan yang masih tertangguh, tanpa berkompromi terhadap prosedur, keselamatan dan tatacara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, kebajikan dan keselamatan sukarelawan yang bertugas sepanjang acara turut perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Malaysia bakal kembali menyaksikan aksi F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun menerusi penganjuran Grand Prix F1 Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober ini.

