Malaysia bakal memasuki Fasa Peralihan Monsun bermula 9 Oktober dan dijangka berterusan sehingga penghujung Oktober 2026.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan bahawa permulaan Fasa Peralihan ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 14 Mei lalu.
Peralihan Monsun ini menyaksikan tempoh peralihan antara Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.
Apa yang akan berlaku dalam tempoh Fasa Peralihan Monsun ini?
Menurut MetMalaysia, tiupan angin lazimnya lemah dan datang dari pelbagai arah dalam tempoh ini, menyebabkan pembentukan ribut petir lebih kerap berlaku.
Dalam pada itu, cuaca juga boleh berubah sekelip mata di mana langit cerah pada waktu pagi.
Puting beliung dan hujan batu juga berpotensi dijana ketika tempoh tersebut.
Pada waktu petang hingga malam pula, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang lebih menyeluruh dijangka melanda dalam jangka masa yang singkat.
Ia diramal berlaku di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta kawasan selatan dan tengah di Sarawak.

Antara Risiko Yang Boleh Berlaku
Banjir kilat
Tanah runtuh
Kepala air
Pokok tumbang
Panahan kilat
Kerosakan struktur tidak kukuh
Nasihat cuaca ketika ribut petir
Berlindung di dalam rumah atau bangunan
Elakkan berada di kawasan lapang
Jauhi rod pengalir elektrik (Contoh: tiang elektrik dan tangga besi)
Jauhi tempat takungan air
Jauhi struktur tinggi (Contoh: pokok dan menara tinggi)
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak berada di kawasan yang berisiko.
Dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.
Hubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

