Festival Mega iLINDUNGu kembali menemui masyarakat menerusi pengisian lebih segar dan inklusif dengan mengetengahkan aspirasi KESUMA Bersama Rakyat, sekali gus membawa perkhidmatan perlindungan sosial lebih dekat kepada segenap lapisan masyarakat.
Festival yang berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara dari 18 hingga 20 September ini menawarkan pelbagai program interaktif, khidmat perlindungan sosial, aktiviti kekeluargaan serta persembahan artis tempatan.
Dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, festival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu menyasarkan kehadiran sehingga 60,000 pengunjung. Penganjurannya menjadi platform penting untuk masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses secara langsung kepada pelbagai inisiatif perlindungan sosial dalam suasana santai serta mesra keluarga.
PERKESO menerusi kenyataan memaklumkan, antara pengisian utama kali ini ialah program KESUMA Bersama Rakyat, yang mencerminkan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk turun padang, mendekati masyarakat serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan rakyat.
Keistimewaan penganjuran kali ini lebih terserlah menerusi penyertaan 11 agensi lain di bawah KESUMA, termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA). Penglibatan secara bersepadu ini membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses terus kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung. Antaranya adalah HRD Corp (Human Resource Development Corporation), TalentCorp (Talent Corporation Malaysia Berhad), NIOSH (Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara) dan PTPK (Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran).
Penyertaan agensi-agensi berkenaan memperkukuh Festival Mega iLINDUNGu sebagai sebuah platform perkhidmatan rakyat yang lebih menyeluruh dan inklusif. Melalui pendekatan KESUMA Bersama Rakyat, pengunjung bukan sahaja dapat memahami inisiatif perlindungan sosial PERKESO, malah berpeluang meneroka pelbagai program berkaitan pekerjaan, pembangunan kemahiran, kebajikan tenaga kerja serta pemerkasaan komuniti yang disediakan oleh keseluruhan ekosistem KESUMA.
Pendekatan itu selaras dengan usaha KESUMA dan PERKESO untuk memastikan setiap dasar, program dan perkhidmatan berkaitan kebajikan pekerja, peluang pekerjaan serta perlindungan sosial benar-benar dapat dirasai manfaatnya oleh rakyat.
Festival tersebut turut menghimpunkan lebih 60 pengusaha makanan dan minuman yang berdaftar di bawah LINDUNG Kendiri, termasuk Suka Dessert, Sushika dan Kunafa Aiwahhh. Kupon diskaun turut disediakan kepada 100 pencarum terawal.
“Festival ini akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti dan pempengaruh seperti Kamal Adli, Elly Mazlein, Amyza Adnan, Zila Bakarin, Maria Tunku Sabri, Sathiya Kandi, Syazwan Syahmi dan Marc Saddique menerusi sesi Meet and Greet, bual bicara, podcast serta pelbagai program interaktif bersama pengunjung.
“Memasuki penganjuran edisi ketiga, festival ini turut menampilkan persembahan artis tempatan, antaranya Andi Bernadee, Azza, Abby Abadi dan Cherpen pada Jumaat, diikuti Kartika dan Sofazr pada Sabtu. Persembahan Kristal X dan XPDC pula bakal menutup tirai festival pada Ahad,” menurut PERKESO.
Menurut kenyataan itu, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, yang turut dijadualkan melancarkan maskot baharu PERKESO.
Festival Mega iLINDUNGu bukan sekadar acara hiburan dan kekeluargaan, malah menjadi medan libat urus antara kerajaan dengan rakyat dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial sepanjang hayat. Penganjurannya juga memperkukuh tekad KESUMA dan PERKESO untuk terus hadir bersama rakyat, mendengar suara mereka serta memastikan tiada golongan pekerja dan keluarga yang tercicir daripada jaringan perlindungan sosial negara. Selain itu, dalam program sama, lebih 500 rider bakal menerima pelekat istimewa, memaparkan inisiatif perlindungan sosial yang ditampal pada topi keledar mereka selain pengunjung juga boleh menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utamanya adalah motosikal.
“Festival ini juga menyediakan pelbagai perkhidmatan PEREKSO secara langsung kepada pengunjung. Antaranya saringan kesihatan percuma, agihan topi keledar, semakan caruman, khidmat nasihat faedah, pendaftaran.
“Selain itu, meneruskan tradisi festival ini, majikan juga berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB). Khusus untuk pencarum yang opt-out LINDUNG 24 Jam, PERKESO menyediakan kaunter khas untuk opt-in semula ke dalam skim berkenaan.
“Untuk pencari kerja pula, MYFutureJobs akan menganjurkan Karnival LINDUNG Kerjaya membabitkan 25 majikan dengan lebih 2,000 kekosongan jawatan untuk diisi, selain menyediakan bimbingan resume dan peluang padanan pekerjaan kepada mereka,” menurut PERKESO.
Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti santai seperti pertandingan Zumba bersama Sathiya Kandi, pertandingan fesyen kanak-kanak Dream Job bersama Elly Mazlein, pertandingan mewarna, kuiz LINDUNG, sesi Talent Scout bersama Anne Ngasri, segmen “Dapur i LINDUNGu” yang menampilkan selebriti tempatan serta pameran agensi KESUMA untuk dilawati pengunjung.
Turut menarik perhatian ialah perkongsian kisah sebenar Orang Berinsurans (OB), termasuk pengalaman penerima manfaat LINDUNG 24 Jam, selain sesi bersama Zarul Umbrella, dan Fahrin Ahmad bagi pengisian berkaitan kesihatan, kerjaya serta kehidupan.
”Festival ini bukan sekadar menawarkan hiburan tetapi menjadi ruang untuk masyarakat melihat sendiri bagaimana perlindungan keselamatan sosial dapat memberi manfaat ketika berdepan musibah tidak terduga,” jelas PERKESO.

