Filem anime paling popular 2020, Demon Slayer atau tajuk penuhnya Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba the Movie: Mugen Train diramal bakal menjadi filem paling laku di Jepun, susulan kejayaannya mengutip sebanyak 30.28 bilion Yen (RM 1.18 bilion) sejak ditayangkan di pawagam di negara matahari terbit itu.
Setakat ini, rekod filem dengan kutipan tertinggi di Jepun dipegang oleh filem Spirited Away yang memenangi Anugerah Academy.
Filem Spirited Away yang menemui peminat pada 2001 memegang rekod berkenaan selama dua dekad dengan kutipan sebanyak 30.8 bilion Yen (RM 1.20 bilion).
Filem Demon Slayer dilancarkan di pawagam diseluruh Jepun pada 16 Oktober lalu dan sudah ditayangkan di beberapa buah negara Asia yang lain. Ia juga dijangka akan memasuki pasaran Amerika Syarikat dan Kanada pada awal tahun depan.
Diangkat dari siri manga dan anime di tv, Demon Slayer mengisahkan pengembaraan seorang budak lelaki, Tanjiro Kamado yang menyertai pasukan Demon Slayer Corp bagi memburu syaitan yang bertanggungjawab membunuh keluarganya. Selain itu, adiknya, Nezuko Kamado turut berubah menjadi syaitan setelah diserang Muzan Kibutsuji namum masih mampu mengawal diri dari berubah sepenuhnya.
Para pemerhati filem di Jepun berpendapat filem berkenaan berjaya memaparkan identiti tradisi Jepun yang didambakan oleh penduduk negara tersebut ketika ini selain elemen-elemen kecekalan yang ditunjukkan oleh watak utama, sekali gus bertepatan dengan situasi mendesak akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.
”Penduduk yang mempunyai status lebih tinggi, biasanya bangsawan dan samurai, bertindak sebagai perisai kepada golongan yang lebih lemah. Menggunakan tenaga mereka untuk melindungi orang dibawah.
”Itulah benda yang hilang dalam kehidupan masyarakat moden Jepun hari ini,” kata pengkritik filem, Yuichi Maeda.
Seorang profesor di Universiti Daito Bunka, Yuka Ijima berkata, istilah demon atau syaitan pertama kali muncul dalam cerita rakyat Jepun merujuk kepada satu penyakit yang membawa maut.
Beliau percaya, fakta berkenaan antara penyebab utama warga Jepun begitu tertarik dengan filem Demon Slayer.
”Secara keseluruhan, ia berkaitan dengan kecekalan hidup. Bagaimana mahu berdepan dengan situasi sukar dan meneruskan kehidupan.
Seorang lagi peminat siri anime ini, Yohei Suzuki, 38, berkata ramai orang terkesan dengan situasi semasa yang melanda dunia ketika ini.
”Saya tidak merasakan filem ini sengaja dibuat untuk golongan-golongan yang tersepit ketika ini, tetapi ianya bagus kerana ia mampu menaikkan semangat mereka semula,” katanya.
Sumber: Japan Times
