Filipina Laksana Kerja Empat Hari Seminggu Susulan Lonjakan Harga Minyak
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. mengarahkan waktu bekerja empat hari seminggu dilaksanakan di beberapa pejabat bawah cabang eksekutif pada Isnin, lapor AFP.
Difahamkan, ia sebagai sebahagian langkah kerajaan untuk mengurangkan kesan ekonomi daripada konflik bersenjata yang melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat.
Marcos turut memberi amaran bahawa penutupan berkesan Selat Hormuz, laluan utama yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia berpotensi menyebabkan harga bahan api tempatan melonjak minggu depan.
Beliau menjangka harga pam meningkat sebanyak 7.48 peso seliter bagi petrol, 17.28 peso bagi diesel dan 32.35 peso bagi minyak tanah.
“Kami menjadi mangsa kepada peperangan yang bukan pilihan kami
“Namun, kami masih boleh mengawal bagaimana kami melindungi rakyat Filipina,” kata Marcos dalam satu kenyataan.
Pelaksanaan kerja empat hari bersifat sementara
AFP melaporkan Filipina mengimport sebahagian besar minyak mentahnya dari Timur Tengah dan bergantung kepada loji janakuasa berasaskan minyak untuk menjana elektrik.
Konflik itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan jaminan pekerjaan lebih dua juta rakyat Filipina yang bekerja di negara-negara Timur Tengah.
Sebagai langkah penjimatan, Marcos mengarahkan semua agensi kerajaan mengurangkan penggunaan bahan api dan tenaga elektrik antara 10 hingga 20 peratus.
Selain itu, perjalanan dan aktiviti yang dianggap tidak perlu seperti lawatan sambil belajar, aktiviti pembinaan pasukan dan mesyuarat yang boleh dijalankan secara dalam talian juga dilarang buat sementara waktu.
Presiden Marcos menggesa Kongres memberi kuasa kepadanya untuk mengurangkan cukai eksais ke atas produk petroleum sekiranya harga minyak mentah melepasi AS$80 setong.
Di samping itu, beliau turut mencadangkan pindaan undang-undang biofuel bagi membolehkan penggunaan bioetanol lebih murah dalam campuran produk petroleum.
Kerajaan akan menyediakan subsidi bahan api serta bantuan tunai kepada sektor terjejas tetapi butiran lanjut masih belum diumumkan.
Pelaksanaan minggu kerja empat hari bersifat sementara dengan pengecualian bagi perkhidmatan barisan hadapan seperti petugas kecemasan, polis dan anggota bomba.

