Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Tangani Isu Guna Tenaga Tidak Penuh OKU Pembelajaran, Neurodivergen

GARIS

Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Tangani Isu Guna Tenaga Tidak Penuh OKU Pembelajaran, Neurodivergen

Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Golongan Neurodivergen diyakini mampu memangkin laluan kerjaya berasaskan kemahiran, selain menangani isu guna tenaga tidak penuh membabitkan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, garis panduan inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan rangka kerja strategik dalam memperkukuh penyertaan tenaga kerja secara menyeluruh.

Tegasnya, isu guna tenaga tidak penuh atau underemployment dalam komuniti OKU masih menjadi cabaran besar Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang memerlukan intervensi segera meliputi pelbagai pihak. 

Bahkan, mengikut laporan Global Disability Inclusion Report 2025, beliau berkata isu sedemikian bakal merugikan produktiviti negara dari aspek Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Golongan OKU termasuk golongan neurodivergen sememangnya aktif dalam mencari pekerjaan dengan data daripada portal MYFutureJobs menunjukkan seramai 5,482 pencari kerja OKU neurodivergen telah berdaftar setakat ini. 

“Namun perlu kita terima, yang mana cabaran utama bukan terletak pada keupayaan individu tersebut, sebaliknya pada kesiapsiagaan pasaran buruh kita dalam menyediakan sokongan yang bersesuaian termasuk penyesuaian tempat kerja, fleksibiliti dan sistem sokongan yang lebih berstruktur. 

“Peranan kerajaan hari ini melangkaui penyediaan peluang pekerjaan semata-mata, justeru kita sedang giat membina ekosistem pekerjaan yang inklusif dan responsif,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Sokongan Pekerjaan Golongan Neurodivergen dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dan United Nations Development Programme (UNDP), di ibu negara, hari ini. 

Menurut Khairul Firdaus, MoU tersebut mencerminkan komitmen global Kerajaan MADANI terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dalam aspek pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan pengurangan ketidaksamaan terutamanya melibatkan golongan neurodivergen. 

“Kita membentuk satu core triangle kebolehpasaran yang menjadi asas penting dalam memperkasa penyertaan golongan neurodivergen secara mapan dalam pasaran buruh negara.

“Garis Panduan ini adalah yang pertama diwujudkan di Malaysia sekali gus bakal menjadi penanda aras kebangsaan dalam pembangunan dasar serta program pekerjaan yang lebih inklusif kepada OKU terutamanya golongan neurodivergen,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa golongan neurodivergen di Malaysia tidak wajar dilihat sebagai komuniti yang berstatus OKU semata-mata, sebaliknya mereka perlu diiktiraf sebagai aset negara yang memiliki potensi unik dalam sektor berimpak tinggi.

Di Malaysia, katanya, kira-kira 333,474 individu adalah OKU pembelajaran dengan sebahagian besarnya berada dalam spektrum neurodivergen. 

“Justeru, rangka kerja strategik dalam memperkukuh penyertaan tenaga kerja buat golongan neurodivergen memberi penekanan kepada garis panduan berasaskan bukti, intervensi perkhidmatan bersasar, pemadanan kerja berasaskan data dan libat urus majikan serta kerjasama strategik dengan badan antarabangsa. 

Inilah pendekatan yang kita ambil, bukan sekadar menyediakan akses pekerjaan, tetapi membina sistem sokongan menyeluruh yang membolehkan golongan ini berkembang dalam kerjaya mereka,” katanya.