Bercuti ikut trend atau ikut bajet?
Rupanya pilihan destinasi dalam kalangan Gen Z dan golongan Millennials mempunyai perbezaan tersendiri, dengan faktor kos, pengaruh media sosial serta gaya perjalanan antara perkara yang mempengaruhi keputusan.
Kajian terbaharu oleh pakar pelancongan golongan muda, Adventure360, menganalisis lebih 4,700 tempahan perjalanan sepanjang setahun lalu bagi melihat destinasi yang menjadi pilihan kedua-dua generasi.
Hasil kajian mendapati Thailand menjadi destinasi paling popular dalam kalangan Gen Z, manakala Australia menduduki tempat pertama bagi Millennials.
Menariknya, beberapa negara seperti Kemboja, Laos dan New Zealand hanya muncul dalam senarai 10 destinasi pilihan Gen Z, manakala Jepun, Greece dan Iceland pula hanya tersenarai dalam pilihan Millennials.
Thailand Jadi Pilihan Gen Z
Menurut kajian itu, Thailand jauh mendahului pilihan Gen Z apabila negara berkenaan muncul dalam 29.2 peratus tempahan, iaitu angka tertinggi yang direkodkan bagi kedua-dua generasi.
Thailand turut menjadi pilihan utama Millennials di tempat kedua dengan 17.4 peratus tempahan, hanya sedikit di belakang Australia yang mencatatkan 17.8 peratus.
Bagi Gen Z, pilihan ke Kemboja dan Laos juga semakin berkembang, bukan lagi sekadar destinasi sampingan selepas melancong ke Thailand atau Vietnam.
Pengaruh media sosial dipercayai menjadi antara faktor yang mendorong trend berkenaan, dengan beberapa lokasi popular di Kemboja dan Laos mendapat perhatian tinggi menerusi video di media sosial.
Antaranya termasuk Angkor Wat di Kemboja yang menjadi latar kepada video berkaitan permainan mudah alih Temple Run, manakala Long Beach di Koh Rong turut tular selepas disenaraikan antara 10 pantai terbaik dunia.
Di Laos pula, Air Terjun Kuang Si menjadi antara lokasi yang sering muncul dalam kandungan perjalanan dan menarik perhatian pelancong.
Bajet Jadi Faktor Penting
Selain trend, faktor kos turut memainkan peranan dalam menentukan destinasi pilihan Gen Z.
Thailand kekal popular dalam kalangan kedua-dua generasi kerana kos perjalanan yang relatif lebih berpatutan, manakala Kemboja dan Laos pula terkenal dengan pilihan penginapan pada harga rendah.
Menurut pakar pelancongan Adventure360, Jane McLellan-Green, perbezaan harga turut mempengaruhi pilihan antara kedua-dua generasi.
Katanya, harga secawan kopi di Reykjavík, Iceland yang mencecah £5 (sekitar €5.85) mungkin sukar diterima Gen Z apabila jumlah sama boleh digunakan untuk mendapatkan tempat tidur semalaman di Vientiane, ibu negara Laos.
Gen Z Cenderung Cari Destinasi Kurang Sesak
Kajian itu turut menunjukkan Gen Z semakin terbuka untuk meneroka lokasi yang kurang dikenali berbanding destinasi popular.
Berdasarkan data Skyscanner yang dirujuk dalam kajian berkenaan, 76 peratus Gen Z terbuka memilih destinasi kurang dikenali.
Malah, 51 peratus mengatakan mereka sengaja merancang percutian ke lokasi yang lebih tenang kerana faktor kesesakan, manakala satu daripada tiga responden pernah merasakan percutian mereka terjejas akibat terlalu ramai pelancong.
Dalam pada itu, 60 peratus Gen Z di United Kingdom menjangkakan mereka akan melancong ke luar negara dengan lebih kerap tahun ini.
Namun begitu, hanya 45 peratus merancang untuk meningkatkan perbelanjaan bagi penerbangan, sekali gus menjadikan faktor harga semakin penting dalam perancangan perjalanan mereka.
New Zealand Popular Kerana Visa

New Zealand pula menduduki tempat kesembilan dalam senarai Gen Z tetapi tidak muncul dalam 10 pilihan utama Millennials.
Kajian itu mengaitkan populariti New Zealand dalam kalangan Gen Z, antaranya dengan kemudahan visa bekerja sambil melancong (working holiday visa) yang membolehkan pemegang pasport tertentu berusia 18 hingga 35 tahun menetap sehingga 36 bulan.
Sebahagian Millennials pula mungkin tidak lagi memenuhi syarat umur bagi mendapatkan visa berkenaan.
10 Destinasi Pilihan Gen Z
1. Thailand
2. Australia
3. Indonesia
4. Vietnam
5. Kemboja
6. Laos
7. Peru
8. Filipina
9. New Zealand
10. Maghribi
10 Destinasi Pilihan Millennials
1. Australia
2. Thailand
3. Filipina
4. Jepun
5. Indonesia
6. Peru
7. Maghribi
8. Greece
9. Iceland
10. Vietnam
Perbezaan pilihan ini menunjukkan bahawa pengalaman melancong antara generasi bukan semata-mata soal destinasi popular, tetapi turut dipengaruhi bajet, trend media sosial, peluang visa dan keinginan untuk mengelak kesesakan.

