Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gerakan “No Kings” Himpun Jutaan Penunjuk Perasaan Anti-Trump

No Kings
Kredit: AFP

Gerakan “No Kings” Himpun Jutaan Penunjuk Perasaan Anti-Trump

Kumpulan besar penunjuk perasaan dilapor berhimpun di seluruh Amerika Syarikat (AS) bagi membantah Presiden Donald Trump serta menyuarakan kemarahan terhadap gaya pemerintahannya yang disifatkan autoritarian pada Sabtu lalu, lapor AFP.

Menurut penganjur, sekurang-kurangnya lapan juta orang menyertai lebih 3,300 acara di kesemua 50 negeri, melibatkan bandar raya utama hingga ke pekan kecil.

Perhimpunan itu merupakan kali ketiga dalam tempoh kurang setahun rakyat negara itu turun ke jalanan sebagai sebahagian daripada gerakan akar umbi dikenali sebagai “No Kings”.

Gerakan berkenaan dilihat sebagai saluran penentangan paling lantang terhadap Trump sejak beliau memulakan penggal kedua kepimpinannya pada Januari 2025.

Selain membantah gaya pemerintahan Donald Trump, penunjuk perasaan turut mengecam dasar imigresen yang disifatkan keras serta penglibatan Amerika Syarikat dalam konflik dengan Iran.

Robert De Niro turut sertai perhimpunan anti-Trump

Manakala di New York, puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun, termasuk pelakon pemenang Oscar, Robert De Niro yang menyifatkan presiden itu sebagai ancaman terhadap kebebasan dan keselamatan negara.

Di Atlanta, seorang veteran tentera, Marc McCaughey, 36, berkata tiada negara boleh diperintah tanpa persetujuan rakyat.

Beliau berkata, penyertaan mereka dalam perhimpunan itu didorong oleh kebimbangan bahawa Perlembagaan AS kini berdepan ancaman dalam pelbagai aspek, selain merasakan keadaan semasa negara sudah tidak lagi normal.

Gelombang bantahan anti-Trump itu turut merebak ke luar sempadan Amerika Syarikat apabila perhimpunan diadakan di beberapa bandar utama Eropah termasuk Amsterdam, Madrid dan Rome.

Pihak pembangkang turut mengecam kecenderungan Donald Trump mentadbir melalui dekrit eksekutif, penggunaan Jabatan Kehakiman untuk mendakwa lawan politik, serta tindakannya yang dilihat semakin mengheret negara itu ke dalam konflik.

Di Minnesota, penyanyi rock legenda Bruce Springsteen membuat persembahan lagu "Streets of Minneapolis" bagi memperingati dua individu yang maut ditembak oleh ejen persekutuan ketika protes imigresen pada Januari lalu.