Kalau biasanya peserta acara larian membawa pulang pingat dan barangan cenderamata, lain pula ceritanya bagi peserta Alfamart Run 2026 apabila goodie bag yang diterima dikatakan mempunyai berat mencecah kira-kira 50 kilogram (kg).
Situasi itu mencuri perhatian selepas seorang pelari, Rohmad, berkongsi video membuka goodie bag berkenaan menerusi akaun Threads miliknya, @rohmadbs.

Menerusi perkongsian itu, Rohmad turut berseloroh mengenai cabaran membawa pulang beg yang dipenuhi pelbagai produk berkenaan.
“Perjuangan membawanya,” jelasnya.
Menurut Rohmad lagi, beg tersebut mempunyai ciri yang memudahkan pergerakan kerana boleh ditarik.
“Untuk aksesibilitinya agak bagus, jadi boleh ditarik,” katanya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk yang berseloroh mengenai jumlah barangan yang diterima peserta.
“Dah kaya macam nak buka warung,” komen seorang pengguna, @nurul.khasanah___.

Dalam ruangan komen yang sama, Rohmad turut berkongsi maklumat mengenai kos penyertaan apabila menjawab pertanyaan seorang pengguna yang ingin mengetahui bayaran bagi menyertai acara berkenaan.
“600 ribuan, Kak,” jawabnya.
Terdahulu, seramai 5,000 pelari yang menyertai Alfamart Run 2026 dijadual membawa pulang goodie bag seberat kira-kira 50kg, yang mengandungi pelbagai produk keperluan harian bernilai lebih Rp4 juta (sekitar RM1,000, bergantung pada kadar pertukaran mata wang).
Bagi menyediakan goodie bag itu, PT Sumber Alfaria Trijaya Tbk (AMRT) dilaporkan memperuntukkan kira-kira Rp22 bilion.
Antara barangan yang dimuatkan termasuk makanan dan minuman, produk penjagaan diri serta keperluan rumah tangga.
Alfamart turut bekerjasama dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (UMKM) Intako Tanggulangin dari Sidoarjo, Indonesia, bagi menghasilkan beg yang digunakan untuk membawa kesemua produk tersebut.
Saiz beg itu juga diperbesarkan berbanding penganjuran sebelumnya bagi menampung jumlah barangan yang diberikan kepada peserta.
Alfamart Run 2026 berlangsung pada Ahad, 18 Oktober 2026 di Plaza Parkir Timur Senayan, Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, sempena sambutan ulang tahun ke-27 Alfamart.
Acara yang memasuki tahun kelima penganjurannya itu menawarkan dua kategori larian, iaitu 5 kilometer (5KM) dan 10 kilometer (10KM), selain menyediakan hadiah podium keseluruhan berjumlah Rp250 juta untuk 252 pemenang.

