Kejayaan Malaysia menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) yang melabuhkan tirai Ahad lalu berjaya mengangkat imej negara di persada antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, acara sukan permotoran berprestij itu bukan sahaja membolehkan peminat tempatan kembali merasai kehangatan aksi F1 di tanah air, malah membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan untuk menjana pendapatan.
“Penghargaan khusus kepada Bahrain atas persahabatan yang memungkinkan detik bermakna ini. Semoga hubungan erat kedua-dua negara terus mekar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menerusi hantaran berkenaan yang turut disertakan video sorotan perlumbaan, beberapa peminat tempatan menzahirkan penghargaan atas peluang menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia itu.
Antara yang mendapat perhatian ialah tawaran tiket pada harga berpatutan serendah RM200, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan aksi F1 secara langsung.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran berkenaan sehingga meninggalkan kenangan istimewa buat rakyat Malaysia serta peminat F1 dari seluruh dunia.
Pada Julai lalu, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Penganjuran itu sekali gus menyaksikan aksi F1 kembali ke SIC selepas sembilan tahun.

