Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Grab Malaysia Lancar Kid-Friendly Rides, Mudahkan Perjalanan Keluarga Dengan Anak

Tak perlu lagi pening memikirkan cara membawa kerusi keselamatan kanak-kanak yang besar ketika keluar bersama anak.

Grab Malaysia kini memperkenalkan Kid-Friendly Rides (Beta), ciri baharu yang membolehkan keluarga menempah kenderaan dilengkapi kerusi keselamatan kanak-kanak untuk perjalanan bersama anak berusia antara empat hingga 12 tahun.

Diperkenalkan selaras dengan garis panduan keselamatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), perkhidmatan ini menawarkan pilihan perjalanan yang lebih mudah dan selamat untuk keluarga yang menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Melalui Kid-Friendly Rides (Beta), pengguna boleh memilih kenderaan Standard 6-Seater yang dilengkapi satu kerusi keselamatan kanak-kanak tambahan.

Perkhidmatan ini juga dipandu oleh rakan-pemandu Grab yang telah menjalani latihan berkaitan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Selain itu, sejumlah kenderaan terhad turut dilengkapi kerusi keselamatan kanak-kanak yang disediakan oleh Koopers.

Tak Perlu Lagi Bawa Kerusi Keselamatan Sendiri

Menurut Pengarah Eksekutif Grab Malaysia, Rashid Shukor, ciri baharu itu diperkenalkan bagi memberi lebih ketenangan kepada ibu bapa ketika melakukan perjalanan bersama anak kecil.

“Setiap keluarga seharusnya dapat melakukan perjalanan bersama anak-anak dengan lebih tenang, tanpa perlu memikirkan kesulitan membawa kerusi keselamatan kanak-kanak yang berat dan besar.

“Dengan Kid-Friendly Rides (Beta), kami berharap dapat memudahkan keluarga melakukan perjalanan dengan menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak secara khusus,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu turut mencerminkan komitmen Grab bersama Kementerian Pengangkutan, MIROS dan rakan kerjasama seperti Koopers dalam mengutamakan aspek keselamatan kanak-kanak ketika berada di jalan raya.

Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Masih Rendah

Di Malaysia, Sistem Kekangan Kanak-Kanak (CRS) telah diwajibkan sejak 1 Januari 2020.

Bagaimanapun, kadar penggunaannya masih rendah dan kesedaran mengenai kepentingan penggunaan CRS yang betul perlu terus dipertingkatkan.

Ketua Pengarah MIROS, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak berkata penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dapat mengurangkan risiko kecederaan dalam kalangan kanak-kanak.

“Usaha melindungi kanak-kanak di jalan raya merupakan tanggungjawab bersama.

“Kajian mendapati penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mengurangkan risiko kecederaan sebanyak 45 peratus bagi kanak-kanak berumur empat hingga lapan tahun berbanding hanya menggunakan tali pinggang keledar,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memilih sistem kekangan yang bersesuaian dengan saiz kanak-kanak serta memastikan ia dipasang dengan betul.

Menurutnya, inisiatif yang menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak untuk pengguna e-hailing dapat membantu menggalakkan penggunaan CRS secara lebih konsisten.

Buat Masa Ini Hanya Untuk Perjalanan Ke dan Dari KLIA

Buat masa ini, Kid-Friendly Rides (Beta) hanya boleh ditempah menerusi fungsi Advance Booking untuk perjalanan ke dan dari KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.

Pelaksanaannya akan diperluaskan secara berperingkat ke kawasan lain di Lembah Klang, sebelum diperkenalkan di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Untuk membuat tempahan, pengguna hanya perlu membuka aplikasi Grab dan memilih:

Car → Advance Booking → Tetapkan waktu perjalanan → Masukkan lokasi pengambilan atau destinasi

Selepas itu, pengguna boleh memilih Kid-Friendly Rides (Beta) di bawah pilihan Standard 6-Seater atau Grab EV Exec.

Bagi Standard 6-Seater, setiap tempahan menyediakan satu kerusi keselamatan kanak-kanak dengan bayaran tambahan RM10. Kerusi tersebut sesuai digunakan oleh kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

Sementara itu, pengguna yang memilih Grab EV Exec boleh mendapatkan kerusi keselamatan kanak-kanak Koopers Boost Fix sebagai ciri nilai tambah secara percuma.

Pelancaran Kid-Friendly Rides (Beta) merupakan sebahagian daripada usaha Grab memperluaskan ciri keselamatan di platformnya.

Antara ciri keselamatan lain yang ditawarkan termasuk AudioProtect dan Women-Only Rides (Beta), dengan matlamat untuk menjadikan aspek keselamatan lebih mudah diakses oleh pengguna ketika menggunakan perkhidmatan Grab.