Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Grab Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran GrabAssist, sebuah perkhidmatan khusus yang direka untuk menyokong penumpang yang memerlukan bantuan mobiliti dan akses tambahan.
Inisiatif ini bertujuan memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, serta pengguna alat bantuan mobiliti peribadi agar mereka dapat bergerak dengan lebih bebas dan berdikari.
Perkhidmatan baru tersebut dilancarkan oleh Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, semasa pembukaan Persidangan ASEAN Disability Forum 2025, bersempena Hari Orang Kurang Upaya Sedunia.
Majlis itu turut disaksikan oleh wakil-wakil daripada ASEAN Disability Forum, pejabat Penyelaras Residen PBB, serta Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
GrabAssist menawarkan penyelesaian mobiliti kepada segmen pasaran yang kurang diberi perkhidmatan, khususnya mereka yang memerlukan pilihan pengangkutan yang lebih mudah diakses sama ada untuk berulang-alik dari rumah, pusat jagaan atau hospital. Perkhidmatan ini dilancarkan di Lembah Klang, melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MFD dan Persatuan Pemandu e-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM).
Perkhidmatan ini akan bermula dengan hampir 100 rakan-pemandu yang telah menerima latihan daripada penyedia perkhidmatan penjagaan bertauliah.
Latihan tersebut membekalkan mereka kemahiran untuk mengendalikan peralatan mobiliti seperti kerusi roda dan alat bantu jalan, serta memberikan sokongan yang profesional dan bersifat empati.
Mereka turut dilengkapi dengan kit GrabAssist yang merangkumi kad selak (flip card) bagi komunikasi dalam kereta, yang membolehkan mereka berkomunikasi dan memberikan bantuan kepada pelanggan dengan lebih berkesan.

“Di Grab, kami amat komited dalam memastikan semua orang dapat bergerak secara berdikari dan dengan mudah. GrabAssist merupakan elemen penting dalam komitmen ini.
Inisiatif ini direka untuk memastikan penumpang yang memerlukan sokongan tambahan dapat melakukan perjalanan dengan lebih yakin dan selesa, dibantu oleh rakan-pemandu yang dilatih untuk memberikan bantuan yang tepat. Kami sentiasa mendengar keperluan masyarakat dan menambah baik platform kami berdasarkan maklum balas anda.
Kami sedar masih banyak usaha perlu dilakukan untuk menjadikan perkhidmatan kami benar-benar inklusif. Langkah awal melalui GrabAssist ini membantu kami menangani cabaran utama yang dihadapi oleh kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan, dan kami berharap dapat meluaskan barisan rakan kerjasama bagi menyediakan akses mobiliti yang lebih menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat,” kata Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara & Mobiliti, Grab Malaysia.
Kini, pelanggan boleh memilih perkhidmatan GrabAssist melalui Advance Booking di aplikasi Grab. Kemudahan ini membolehkan mereka menempah kenderaan yang sesuai, dipandu oleh rakan-pemandu terlatih, pada waktu yang mereka perlukan.
“Mobiliti bukan sekadar perjalanan; ia adalah gerbang kepada kebebasan, kesaksamaan dan peluang. Namun, bagi berjuta-juta OKU di seluruh Asia Tenggara, mobiliti kekal menjadi salah satu cabaran terhebat. GrabAssist membuktikan hasil yang mampu dicapai apabila kita mengutamakan aksesibiliti, kerjasama, dan pemerkasaan.
Usaha-usaha ini bukan hanya berkaitan pengangkutan; malah bertujuan membina sebuah masyarakat di mana setiap orang, tidak mengira keupayaan, mempunyai peluang yang sama untuk maju,” kata Tuan Mohd. Norhisham Aluwi, Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Grab komited untuk terus memperhalusi dan memperluas liputan perkhidmatan GrabAssist, dengan menambah bilangan rakan-pemandu terlatih serta memperkenalkan ciri tambahan bagi memenuhi keperluan komuniti dengan lebih baik.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Grab untuk memupuk peluang ekonomi inklusif, dengan memperkasa lebih 3,000 rakan-pemandu dan rakan-penghantar OKU di Malaysia semenjak 2018, dan lebih 5,140 individu di seluruh Asia Tenggara setakat 2024.
Bersempena pelancaran ini, Grab menawarkan promosi potongan RM14 untuk setiap perjalanan GrabAssist, bermula 3 hingga 17 Disember 2025. Untuk menikmati diskaun ini, pelanggan perlu memilih jenis perkhidmatan GrabAssist di aplikasi Grab di bawah Advance Booking.

Setelah memilih waktu pengambilan (pick-up) yang diingini, klik butang “Offers” untuk menambah promosi tersebut. Tawaran ini hanya terbuka kepada pelanggan yang layak.
GrabAssist pada masa ini hanya tersedia di Lembah Klang, dengan rancangan untuk diperluaskan ke bandar-bandar lain pada masa akan datang. Untuk maklumat lanjut mengenai GrabAssist, sila layari www.grab.com/my/grabassist.