Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Guru Bakal Duduki SPM Buat Kali Ke-26, Pastikan Kemahiran Releven Untuk Anak Bangsa

SPM
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Merasai sendiri pengalaman sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih 20 kali, seorang guru Matematik, Zulkifli Md Pungut bukan hanya dapat menambah baik pendekatan pengajaran, malah membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan tenang.

Pengetua SMK Simpang Renggam di Johor itu, yang sekali lagi menjadi calon SPM tahun ini buat kali ke-26, peperiksaan bukan sekadar medan menguji pencapaian akademik, sebaliknya peluang untuk menyelami sendiri pengalaman calon serta memastikan kaedah pengajarannya kekal relevan dengan kehendak pendidikan semasa.

Zulkifli, 58, yang mula menduduki SPM sebagai seorang guru sejak 2011 sebanyak dua kali setahun itu berkata beliau mahu menilai sendiri tahap kesukaran kertas soalan dan perubahan format peperiksaan, selain memahami cabaran yang dihadapi pelajar dari perspektif seorang calon.

“Duduk di dalam dewan peperiksaan membuka mata saya tentang tekanan masa, keletihan mental dan rasa cemas yang dialami calon.

“Pengalaman ini mengubah pendekatan pengajaran saya. Saya tidak lagi hanya mengajar tajuk dalam modul, tetapi turut memberikan tumpuan kepada teknik pengurusan masa, strategi menjawab di bawah tekanan dan pengurusan emosi,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi rutin persiapannya, Zulkifli berkata beliau memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji dan menjawab set soalan seperti calon sekolah biasa.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran Awam itu turut menggunakan modul rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), soalan percubaan serta mendapatkan pandangan rakan-rakan guru Matematik sebagai rakan semakan.

Zulkifli berkata sepanjang menduduki SPM, fokus utamanya ialah subjek Matematik dan Bahasa Inggeris, dengan rekod keputusan yang konsisten pada gred A dan A+.

Untuk SPM tahun ini, sasaran beliau tetap sama, iaitu mengekalkan gred A+ dalam Matematik sebagai penanda aras prestasi peribadi, selain menjadi sumber inspirasi kepada pelajarnya.

Beliau berkata antara perubahan paling ketara dalam SPM moden ialah peningkatan penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), apabila soalan tidak lagi tertumpu kepada pengiraan rutin atau hafalan.

Beliau berkata calon kini perlu menganalisis maklumat dan memahami konsep sebelum mengaplikasikannya dalam situasi kehidupan sebenar, termasuk pengurusan kewangan, analisis data dan statistik harian.

“Matematik bukan sekadar subjek mengira, tetapi satu bentuk latihan minda. Jangan melihat soalan yang panjang dan terus berasa gerun, sebaliknya pecahkan masalah kepada langkah-langkah kecil.

“Kuncinya ialah latihan berulang secara konsisten, membina kefahaman konsep asas dan jangan ragu-ragu untuk bertanya kepada guru,” katanya.

Zulkifli berkata pengalamannya sebagai calon SPM berulang kali turut membolehkannya memahami dengan lebih dekat tekanan yang dihadapi pelajar, sekali gus membantu beliau menjadi pendidik yang lebih peka terhadap keperluan mereka.

Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Zulkifli Md Pungut bakal menduduki SPM tahun ini buat kali ke-26.
  • Beliau mahu menilai kesukaran soalan, perubahan format dan cabaran pelajar sebagai calon.
  • Pengalaman itu membantunya menekankan pengurusan masa, strategi menjawab dan emosi pelajar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan