Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Guru KAFA, Pegawai Masjid & Jurunikah Yang Enggan Divaksin Mungkin Tidak Dibenarkan Terus Tugas – Sultan Selangor

Nur Adnin
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap golongan yang enggan divaksin iaitu di kalangan guru-guru kelas Al-Quran dan fardu ain (KAFA), pegawai-pegawai masjid dan surau serta jurunikah di negeri Selangor di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda bertitah, golongan ini mungkin berdepan kemungkinan untuk tidak dibenarkan meneruskan tugas kerana boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

”Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.

”Malah Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Negeri Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin.

”Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

”Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama,” titahnya menerusi hantaran tersebut.

Untuk rekod, difahamkan seramai 326 guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin setakat ini, manakala 95 daripadanya didakwa enggan menerima suntikan tersebut.

Sementara itu, 59 pegawai masjid di sekitar Selangor masih belum mendapat suntikan vaksin dengan 11 daripadanya enggan berbuat demikian, manakala sembilan jurunikah pula masih belum divaksin dan enam daripadanya dikenal pasti enggan menerimanya.

“Beta juga difahamkan bahawa terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di Negeri Selangor yang juga enggan divaksin.

“Ini juga boleh membahayakan para pelajar sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan sekolah-sekolah menengah kebangsaan di Negeri Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berwajib,” tambah baginda.

Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dititah agar menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap ketiga-tiga golongan tersebut.

Dalam masa sama, rakyat Selangor juga diseru supaya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Beta berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala supaya Pandemik COVID-19 ini akan berakhir dengan segera dan kita semua akan dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa,” titah baginda lagi.

Sumber: Selangor Royal Office