Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kemenangan Islam hanya dapat dicapai apabila agama itu berdaulat dan memiliki kuasa politik untuk mentadbir sesebuah negara.
Menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini sempena sambutan Maal Hijrah bertajuk Hijrah Kemenangan Islam Berdaulat (Berkuasa Politik), beliau berkata Islam sebagai al-din yang sempurna merangkumi urusan agama dan dunia serta tidak boleh dipisahkan daripada pentadbiran negara.
Menurut beliau, perjuangan hijrah yang dibawa Rasulullah SAW bukan sekadar perpindahan tempat, sebaliknya satu usaha besar untuk menegakkan negara Islam yang berteraskan keadilan, kebajikan, undang-undang dan petunjuk wahyu.
“Islam mewajibkan pelaksanaan ajarannya secara menyeluruh termasuk dalam aspek pemerintahan, politik dan kemasyarakatan,” katanya.
Abdul Hadi berkata, model negara Madinah yang diasaskan Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik perpaduan antara golongan Muhajirin dan Ansar.
Katanya, model tersebut membuktikan masyarakat berbilang kaum dan agama mampu hidup bersama di bawah pemerintahan yang adil dan tersusun.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyentuh perkembangan geopolitik dunia Islam dengan merujuk kebangkitan semula gerakan Islam termasuk di Iran dan Palestin.
Menurutnya, usaha memecahbelahkan umat Islam melalui sentimen mazhab dan perkauman terus digunakan oleh musuh Islam bagi melemahkan kebangkitan umat.
Beliau turut menyifatkan gabungan kuasa Barat, Zionis dan sekutunya yang menentang negara serta gerakan Islam sebagai mengulangi pendekatan pakatan Ahzab pada zaman Rasulullah SAW.
“Musuh Islam akan terus berusaha menentang kebangkitan umat, namun sejarah membuktikan pakatan tersebut akhirnya gagal,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru umat Islam agar terus memperkukuhkan perpaduan, meningkatkan kefahaman agama serta meneruskan perjuangan menegakkan Islam dalam semua aspek kehidupan termasuk pemerintahan negara.