Hairan Longkang Air Ada 'Zig-Zag' & Tangga, Pemuda Indonesia Kongsi Fungsinya
Jika selalu melalui jalan berbukit atau kawasan projek, mungkin pernah terlihat saliran air yang dibina di sepanjang cerun.
Ada yang berbentuk seperti anak tangga, tetapi ada juga yang mempunyai blok konkrit dipasang berselang-seli dari kiri ke kanan.
Sekali pandang, susunannya nampak seperti corak biasa. Namun sebenarnya, reka bentuk zig-zag itu mempunyai fungsi penting dalam membantu mengawal aliran air.
Fungsi Zig-Zag Longkang Ini?

Menerusi perkongsian pemuda Indonesia di akaun TikTok @handy_merantau, apabila hujan turun di kawasan cerun, air akan mengalir dari tempat tinggi ke kawasan lebih rendah.
Jika saluran itu panjang dan curam, air boleh bergerak semakin laju.
Dalam bahasa yang mudah, bayangkan sebiji guli bergerak di atas papan condong. Semakin jauh ia bergerak, semakin laju pergerakannya.
Begitu juga dengan air. Apabila bergerak terlalu laju, ia boleh menyebabkan hakisan pada tanah, batu atau struktur saliran.
Disebabkan itu, wujudnya blok konkrit yang dipasang berselang-seli adalah untuk memaksa air menukar arah.
Apabila air bertemu blok di sebelah kanan, alirannya dialihkan ke kiri. Selepas itu, ia bertemu pula blok di sebelah kiri sebelum kembali ke kanan.

Proses ini berulang hingga ke bahagian bawah saliran.
Setiap kali air berubah arah dan bertembung dengan penghalang, sebahagian tenaganya akan berkurang.
Kesannya, kelajuan air dapat dikawal sebelum sampai ke bawah. Dalam kejuruteraan, konsep seperti ini dikenali sebagai pelesapan tenaga atau energy dissipation.
Longkang Jenis Bertangga/Bertingkat

Menurutnya dalam video berbeza, fungsi reka bentuk masih mempunyai persamaan dengan jenis zig-zag, iaitu memperlahan aliran air.
Bagi saliran bertangga, tenaga air dikurangkan apabila ia jatuh dari satu aras ke aras seterusnya.
Manakala bagi reka bentuk zig-zag, air kehilangan tenaga apabila dipaksa menukar arah berkali-kali.
Walaupun bentuknya berbeza, tujuannya sama iaitu mengawal kelajuan aliran air dan mengurangkan risiko hakisan.
Jadi, selepas ini kalau terlihat blok konkrit tersusun kiri dan kanan dalam saliran cerun, ia bukan sekadar hiasan.
Susunan itu direka untuk membantu ‘menjinakkan’ aliran air supaya lebih terkawal sebelum sampai ke bahagian bawah
