Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hakim Danish Dihukum Penalti

Hakim Danish
Kredit: ZKracing via Instagram @mediatwowheels

Hakim Danish Dihukum Penalti

Impian pelumba muda negara, Hakim Danish, untuk memulakan perlumbaan Moto3 Grand Prix Czech dari barisan hadapan tidak kesampaian apabila dikenakan penalti 12 petak grid selepas didapati menunggang terlalu perlahan ketika sesi kelayakan Q2 di Litar Brno.

Pelumba pasukan MT Helmets-MSi itu pada mulanya mencatat masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan, sekali gus melayakkan diri bermula di petak kedua.

Namun, penalti yang dikenakan oleh panel steward menyaksikannya terpaksa memulakan perlumbaan utama dari petak ke-14.

Pelumba lain turut dikenakan hukuman

Pada masa sama, pelumba Indonesia Veda Ega Pratama turut menerima penalti sama sehingga kedudukannya merosot daripada petak kelapan ke petak ke-20.

Turut dikenakan hukuman ialah Guido Pini dari Itali yang jatuh daripada petak ke-12 ke petak ke-24. Manakala, Rico Salmela dari Finland turun daripada petak ke-18 ke petak ke-26.

Menurut panel steward, penalti itu dikenakan selepas beberapa pelumba didapati memperlahankan jentera mereka di beberapa bahagian litar bagi menunggu 'tow' atau 'slipstream' daripada pelumba lain untuk memperoleh kelebihan kelajuan dan mencatat masa pusingan yang lebih pantas.

Amalan tersebut menjadi perhatian pihak MotoGP sejak beberapa musim kebelakangan ini kerana dianggap berbahaya dan berisiko mengganggu keselamatan pelumba lain yang sedang memecut di litar.

Penalti itu pastinya menjadi tamparan buat Hakim Danish yang sebelum ini tampil cemerlang di Brno apabila menguasai sesi latihan dan dilihat sebagai antara pencabar utama untuk menaiki podium pada hujung minggu ini.

Walaupun terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14, pelumba Malaysia berusia 18 tahun itu masih berpeluang melakar kebangkitan bagi mengutip mata penting dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2026.