Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hamas Setuju Dengan Syarat Utama Pelan Gencatan Senjata Gaza – Trump

hamas setuju syarat gencatan
Kredit: AFP

Hamas Setuju Dengan Syarat Utama Pelan Gencatan Senjata Gaza – Trump

WASHINGTON, 7 Okt (Bernama) — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata Hamas “bersetuju dengan perkara-perkara penting” ketika rundingan diteruskan mengenai rancangan gencatan senjata Gaza 20 perkara yang diumumkan baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Jika beberapa syarat tidak dipenuhi, kita tidak akan meneruskannya. Namun saya rasa rundingan berjalan dengan baik dan Hamas telah bersetuju dengan beberapa perkara yang sangat penting,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.

Beliau berkata terdapat “peluang yang sangat baik untuk mencapai perjanjian,” dan ia akan menjadi perjanjian yang berkekalan.

Pada 29 Sept lalu, Trump memperkenalkan pelan 20 perkara yang merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dengan pertukaran tahanan Palestin, gencatan senjata, pelucutan senjata Hamas serta pembinaan semula Gaza.

Hamas dilaporkan bersetuju dengan pelan itu secara prinsip.

Trump turut memuji usaha diplomatik beberapa pemimpin serantau termasuk Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan yang digelarnya sebagai “hebat” dan “berpengaruh besar.”

“Beliau berusaha keras untuk menjayakan perjanjian ini. Hamas sangat menghormati beliau.

“Mereka sangat menghormati Qatar, UAE, dan Arab Saudi.

“Kita mendapat sokongan semua pihak bagi menjayakan perjanjian ini. Tidak pernah ada sesuatu yang seumpamanya sebelum ini.

“Saya tidak fikir ada mana-mana negara yang menolak perkara ini.

“Semua pihak mahukan perjanjian ini – termasuk , saya fikir, Hamas. Dan apabila mereka mahukannya berlaku, ia akan berlaku,” kata beliau.

BACA JUGA: Pelan Damai Gaza Perlu Ambil Kira Jaminan Kebebasan, Kemerdekaan Palestin – PM Anwar

Dalam temu bual bersama Newsmax pada Isnin, Trump berkata perjanjian bagi Gaza kini semakin hampir direalisasikan.

“Saya rasa kita sangat hampir untuk mencapai perjanjian,” katanya, sambil menambah bahawa seluruh dunia menyokong usaha ini.

“Ia satu perjanjian yang sangat spesifik dan ia akan membawa keamanan bukan sahaja ke Gaza, tetapi ke seluruh Timur Tengah.

“Saya rasa ada banyak niat baik yang ditunjukkan sekarang. Ia sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel membunuh lebih 67,000 penduduk Palestin di Gaza melalui serangan berterusan hingga menjadikan wilayah itu hampir tidak lagi boleh didiami serta menyebabkan perpindahan besar-besaran, kebuluran dan penularan penyakit.

Sumber: BERNAMA