Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Indonesia kembali kecoh selepas 24 penunjuk perasaan telah ditahan dalam satu perhimpunan membantah dasar Presiden Prabowo Subianto di Surabaya pada Jumaat, lapor AFP.
Difahamkan, 100 orang telah berkumpul berhampiran sebuah bangunan kerajaan di Surabaya susulan kenaikan harga petrol bukan subsidi dan program makanan percuma yang menjadi agenda utama Prabowo.
Menurut laporan wartawan, penahanan dibuat berikutan beberapa penunjuk perasaan bertindak melontar batu ke arah polis dan membakar sampah di tengah jalan.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap mereka selepas disoal siasat, maklum polis.
Ketua Polis Surabaya, Luthfie Sulistiawan memberitahu pemberita pada Jumaat bahawa anggotanya telah mengambil tindakan tegas untuk menyuraikan penunjuk perasaan selepas ada dalam kalangan mereka melontar objek.
Katanya protes meletus di beberapa buah bandar di Indonesia bulan ini selepas pentadbiran Prabowo menaikkan harga petrol tanpa subsidi sekitar 30 peratus.
Langkah berkenaan bertujuan untuk mengurangkan tekanan bajet ekoran kesan perang di Timur Tengah terhadap bekalan minyak global.
Bagaimanapun, inisiatif itu menerima kritikan meluas kerana dianggap membazir dan dikaitkan dengan kes keracunan makanan besar-besaran. Bahkan, program itu kini telah digantung sebahagiannya.
Terdahulu, berlaku protes besar-besaran di Indonesia pada Ogos dan September lalu, selepas Prabowo pada awalnya mengumumkan pemberian faedah mewah kepada ahli parlimen.
Protes berkenaan semakin memuncak terhadap pasukan keselamatan selepas sebuah kenderaan polis melanggar seorang pemandu penghantar barang sehingga maut.
Kumpulan hak asasi manusia menyatakan bahawa protes tersebut mengakibatkan 10 kematian dan ribuan tangkapan, walaupun sebahagian besar daripada mereka telah pun dibebaskan.