Selepas empat tahun perbicaraan kes pembunuhan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman, bapa arwah akhirnya mampu memaafkan pelaku-pelaku yang terlibat kes kematian anaknya.
Zulkarnain Idros ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata, sememangnya berat untuknya menerima keputusan hari ini, namun jauh di sudut hati dia telah pun memaafkan kesemua tertuduh yang juga merupakan teman sepengajian arwah anak sulungnya.
“Ya Allah, beratnya. Secara jujurnya saya maafkan kepada tertuduh sekurang-kurangnya kalau saya maafkan ada kelegaan di hati.
“Hari ini baru habis baru saya boleh maafkan, baru rasa lega,” kata Zulkarnain setelah mendengar keputusan kes pembunuhan Allahyarham Zulfarhan hari ini.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Zulkarnain mengaku kurang berpuas hati dengan keputusan mahkamah terhadap kes kematian anaknya dan memaklumkan pihak pendakwaan akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah dalam sidang mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM yang telah menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Allahyarham Zulfarhan.
Manakala 12 lagi tertuduh yang terbukti bersalah mencederakan arwah dijatuhi hukuman tiga tahun penjara mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Sumber: Malaysia Gazette
