Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengadakan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 Bersama HAWA Pulau Pinang pada hari ini. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bayan Baru di Giant Bayan Baru, Pulau Pinang. Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Mohd Dusuki Mokhtar, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN dan YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.
2. Penganjuran Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 merupakan penganjuran kali kedua yang diadakan secara on-ground event setelah penganjuran kali pertama di Dewan Koperasi Sungai Gelugor mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Karnival ini merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN bertujuan meraikan Bulan Kebangsaan di samping membudayakan penabungan di kalangan masyarakat. Melalui karnival ini, PTPTN turut menerapkan nilai kemerdekaan melalui perancangan kewangan yang baik agar masyarakat bebas merdeka daripada hutang yang pastinya akan membawa kemerdekaan jiwa dan minda.
3. Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN telah menyediakan instrumen simpanan terbaik bagi mendorong dan menggalakkan masyarakat membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan. Apabila anak-anak dewasa kelak, mereka telah ‘merdeka’ daripada membuat pinjaman pendidikan dan menyambung pengajian menggunakan simpanan yang dibuat di Simpan SSPN.
4. Sempena karnival ini, pelbagai aktiviti disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak. Antaranya pameran jualan usahawan dan rakan kolaborasi, Jualan Rahmah, Klinik Memanah, Permainan e-Sport, pelbagai pertandingan seperti mewarna dan pakaian beragam, slot Genius IQ PTPTN, cabutan hadiah dan penampilan istimewa Maskot P&T. PTPTN juga turut membuka kaunter promosi Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai cenderamata eksklusif bagi pembukaan akaun atau membuat penambahan deposit pada hari ini.

5. PTPTN juga tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dan dalam karnival ini turut menyantuni golongan asnaf dengan memberikan sumbangan peranti kepada 10 orang pelajar bagi membantu mereka dalam pembelajaran. Selain itu, PTPTN turut mengadakan slot Sesi “Ngopi” Bersama YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim untuk memberikan pendedahan serta informasi mengenai peranan dan fungsi PTPTN dan produk Simpan SSPN.
6. YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Acara kemuncak program ini ialah Larian Kasih Merdeka PTPTN 2024 iaitu aktiviti larian yang disertai oleh pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), rakan strategik, pegawai PTPTN dan penduduk setempat. Program ini sangat bermakna dalam memupuk semangat patriotisme di sampingmenggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Lebih menarik, acara larian sejauh lima (5) kilometer ini turut melibatkan aktiviti memasang bendera di setiap rumah di sekitar kawasan perumahan Bayan Baru, selaras dengan inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ yang diketengahkan oleh Kementerian Komunikasi untuk sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.”

7. “Kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah. Kemerdekaan sebenar merupakan perjuangan masyarakat untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik, memiliki kekuatan jati diri dan semangat cintakan negara. Kemerdekaan juga membawa mesej tentang kepentingan masyarakat mempunyai perancangan kewangan yang baik untuk bebas merdeka daripada bebanan hutang,” tambah Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim.