MELBOURNE – Hasrat ingin merakam detik indah bertukar menjadi tragedi apabila seorang pelancong dilapor maut akibat tergelincir dan terjatuh dari ketinggian 260 kaki.
Nahas ngeri yang melibatkan seorang mangsa wanita dari Craigieburn berusia 38 tahun itu berlaku di Taman Negara Grampians, Victoria di sini pada sekitar 3 petang kelmarin.
Menurut laporan, mangsa yang datang bersama ahli keluarga itu pada awalnya berdiri di bahagian sebuah anjung bernama Boroka Lookout yang terdapat di atas bukit tersebut untuk bergambar.

Difahamkan, lokasi tersebut sering menjadi ‘hotspot’ pelancong untuk mengambil gambar memandangkan ia berlatarbelakangkan pemandangan cantik sekitar taman negara tersebut.
Bagaimanapun mangsa dikatakan tergelincir daripada penghadang keselamatan sewaktu bergambar sebelum terjatuh dan terjunam ke bawah bukit.
Operasi menyelamat mayat mangsa dan siasatan dijalankan oleh polis Victoria dengan kerjasama Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES).
Menurut jurucakap badan penyelamat SES, mangsa dilapor terjunam hingga sejauh kira-kira 80 meter dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun kes masih dalam siasatan lanjut.
Sumber: Mirror