Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hujan Lebih 100 MM Dua Jam Cetus Risiko Banjir Di Kampung Melayu Subang

Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Hujan melebihi 100 milimeter dalam tempoh lebih dua jam berpotensi menyebabkan banjir kilat di Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitarnya apabila limpahan sungai dan sistem perparitan setempat tidak mampu menampung kapasiti berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata dua sungai utama yang menyumbang kepada limpahan air di kawasan itu ketika ini ialah Sungai Damansara dan Sungai Buluh.

“Di kawasan yang berisiko banjir ketika ini, aliran air yang melimpah berpunca daripada Sungai Damansara dan Sungai Buluh. Bagi Kampung Melayu Subang, kejadian banjir turut dipengaruhi limpahan daripada sistem perparitan setempat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ashrul Riezal berkata aliran limpahan sungai itu turut berpotensi menjejaskan beberapa kawasan termasuk Shah Alam, Puncak Alam, Paya Jaras dan Kampung Kubu Gajah sebelum aliran air bergerak ke Kampung Parit Mahang, Ijok, Cerakah serta Kampung Bukit Kuching dan berakhir di kawasan Kuala Selangor.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), JBPM Selangor mengenal pasti 56 kawasan hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko banjir di seluruh negeri berkenaan.

“Daerah Klang mencatatkan jumlah hotspot banjir tertinggi di Selangor dengan 13 kawasan, diikuti Petaling (11), Gombak (10), Hulu Langat (sembilan), Kuala Selangor (enam), Sepang (tiga), Kuala Langat dan Hulu Selangor masing-masing dua kawasan, manakala tiada hotspot banjir direkodkan di Sabak Bernam.

“Daerah Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan berisiko banjir tertinggi dengan 37 kawasan, diikuti Klang (33), Sepang (32), Kuala Selangor dan Gombak masing-masing 29 kawasan, Petaling (27), Kuala Langat (22), Hulu Selangor (12) dan Sabak Bernam (11),” katanya.

Beliau berkata jabatan itu mempunyai kekuatan 1,603 anggota bomba dan 1,251 anggota bomba sukarela, selain dilengkapi 71 bot penyelamat, 12 lori operasi dan 68 kenderaan pacuan empat roda bagi menghadapi kemungkinan kejadian banjir sepanjang MTL.

Kampung Melayu Subang antara kawasan yang menghadapi kejadian banjir berulang di Selangor, termasuk ketika hujan lebat pada awal bulan ini yang menyebabkan beberapa kediaman dinaiki air.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Nov mengarahkan agar pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepat.


Intipati
  • Hujan melebihi 100 milimeter lebih dua jam berpotensi mencetuskan banjir kilat setempat.
  • Limpahan Sungai Damansara, Sungai Buluh dan perparitan setempat menjejaskan Kampung Melayu Subang.
  • JBPM Selangor mengenal pasti 56 hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko seluruh negeri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan