Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ibarat 'Doktor' Di Landasan, Ini Fakta Menarik Tentang Tren Khas CIT Milik ECRL Ramai Tak Tahu

Tren khas untuk periksa keselamatan landasan
Kredit: Facebook East Coast Rail Link - ECRL

Bila bercakap mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tumpuan biasanya diberikan kepada jajaran sepanjang 665 kilometer, stesen-stesen yang bakal dibina atau tren penumpang yang akan digunakan.

Namun, tahukah anda ECRL turut mempunyai sebuah tren khas yang bukan digunakan untuk membawa penumpang, sebaliknya menjadi antara 'mata' penting bagi memastikan keseluruhan rangkaian rel berada dalam keadaan selamat dan cekap?

Tren khas untuk periksa keselamatan landasan

Jadi, hari ini SK kongsikan antara fakta menarik mengenai tren khas yang bakal memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan ECRL kelak berlangsung dengan selamat dan lancar.

Tren berkenaan ialah Comprehensive Inspection Train (C.I.T.), sebuah tren berteknologi tinggi yang direka khas untuk menjalankan pemeriksaan komprehensif bagi menyokong penyelenggaraan rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer.

Bukan tren biasa, ini 'doktor' untuk ECRL

Tren C.I.T. bagi Projek ECRL merupakan model 'CR200J' yang dikilangkan oleh CRRC Dalian di China.

Ia merupakan tren jenis enam gerabak Electric Multiple Unit (E.M.U.) berteknologi tinggi yang mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam.

Berbeza dengan tren penumpang biasa, C.I.T. mempunyai tugas khusus untuk memeriksa pelbagai komponen penting sepanjang jajaran ECRL.

Kredit: Facebook ECRL

Antaranya termasuk merekod parameter geometri landasan, memeriksa sistem semboyan kereta api serta meneliti sistem aliran elektrik Overhead Catenary System (O.C.S.).

Kesemua pemeriksaan ini amat penting bagi memastikan rangkaian rel ECRL sentiasa berada pada tahap keselamatan dan kecekapan yang diperlukan, khususnya apabila memasuki fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) kelak.

Lengkap dengan bilik kawalan hingga bilik solat

Menariknya, bahagian dalaman tren C.I.T. bukan sekadar dipenuhi dengan peralatan teknikal.

Bagi menyokong operasi pemeriksaan komprehensif di sepanjang jajaran, tren ini turut dilengkapi dengan pelbagai fasiliti moden dan selesa untuk kegunaan pasukan yang menjalankan tugas.

Kredit: Facebook East Coast Rail Link - ECRL

Antara kemudahan yang disediakan ialah Bilik Kawalan bagi membolehkan pemantauan teknikal dilakukan secara langsung serta Bilik Persidangan untuk perbincangan pasukan.

Kredit: Facebook East Coast Rail Link - ECRL

Menariknya, tren ini turut mempunyai Bilik Solat bagi kemudahan ibadah sepanjang perjalanan.

Selain itu, C.I.T. turut menyediakan Ruang Makan, Kabin Kelas Perniagaan, Bilik Multimedia dan tandas.

Sudah lulus ujian kilang

Sebelum digunakan untuk pemeriksaan di jajaran ECRL, tren C.I.T. telah berjaya melalui Ujian Penerimaan Kilang atau Factory Acceptance Test (F.A.T.).

Langkah seterusnya ialah penggunaan tren berkenaan bagi memulakan ujian System Integration Testing (S.I.T.) dan Fault-Free Run (F.F.R.) di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Kredit: Facebook East Coast Rail Link - ECRL

Ujian tersebut penting bagi memastikan setiap aspek keselamatan, kebolehpercayaan operasi dan keperluan perundangan memenuhi piawaian tertinggi sebelum ECRL memulakan pengoperasian komersial.

Peluncuran tren C.I.T. itu telah disempurnakan secara rasmi oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook baru-baru ini.

Jadi, di sebalik perjalanan tren ECRL yang bakal menghubungkan kawasan di sepanjang Pantai Timur, terdapat juga sebuah tren khas yang tugasnya mungkin kurang mendapat perhatian, tetapi amat penting untuk memastikan perjalanan di atas landasan itu kelak berlangsung dengan selamat dan lancar.

Intipati
  • ECRL mempunyai Comprehensive Inspection Train untuk memeriksa keselamatan rangkaian rel sepanjang 665 kilometer.
  • Tren model CR200J itu dikilangkan CRRC Dalian dan mampu beroperasi hingga 160 kilometer sejam.
  • C.I.T. telah lulus ujian kilang sebelum menjalani S.I.T. dan Fault-Free Run bawah APAD.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan