Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Komitmen kerajaan meningkatkan kebolehpasaran belia tahfiz diterjemahkan menerusi peruntukan RM30 juta bagi pelaksanaan Industrial Boot Camp (IBC) MARA yang menyasarkan 720 pelajar mengikuti latihan kemahiran profesional dan teknikal dengan pensijilan diktiraf industri serta jaminan kebolehpasaran.

YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah KKDW berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat MARA 2026 yang menghimpunkan 6,000 pelajar dan alumni daripada 344 Institusi Pendidikan MARA di seluruh negara, selain menyaksikan prapeluncuran logo Sambutan Hari MARA 60 Tahun, sambil menegaskan inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan menangani isu ketidaksepadanan kemahiran dalam kalangan lepasan tahfiz agar lebih selari dengan keperluan industri.

"Kita tidak boleh membiarkan generasi penjaga Al-Quran tercari-cari tempat dalam arus pembangunan negara. Mereka mesti dipimpin, diberi laluan kerjaya yang jelas serta kompetensi yang diiktiraf industri," tegas beliau.
Menurut beliau, perubahan landskap ekonomi global yang dipacu Revolusi Industri 5.0, transformasi digital, kecerdasan buatan (Al) dan ekonomi hijau menuntut penyediaan bakat yang bukan sahaja mahir, tetapi juga berintegriti dan berdaya saing.

Sehubungan itu, kerajaan melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperluas ekosistem pendidikan huffaz secara bersepadu merangkumi laluan TVET-Tahfiz, Program Profesional Huffaz (ProFAZ) serta pelbagai program pemerkasaan kemahiran di institusi MARA. Pendekatan ini menggabungkan hafazan Al-Quran, kelayakan akademik dan kemahiran industri, bagi memastikan graduan tahfiz lebih relevan dengan keperluan pasaran kerja.
"Cabaran sebenar bukan kekurangan bilangan huffaz, tetapi kegagalan mengintegrasikan potensi mereka dengan keperluan pembangunan ekonomi moden. Jika ini tidak ditangani, negara akan kehilangan satu aset insan yang amat bernilai," katanya.

Pelaksanaan IBC MARA akan digerakkan menerusi kerjasama strategik bersama institusi seperti GIATMARA, yang menyediakan latihan kemahiran, pensijilan profesional dan laluan kompetensi alternatif kepada pelajar tahfiz.
Kerajaan turut menegaskan bahawa agenda memperkasa huffaz adalah selaras dengan aspirasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN 1.0), dengan visi jangka panjang melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050.

Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi strategi nasional untuk membangunkan modal insan yang menggabungkan kekuatan spiritual, kecemerlangan ilmu dan kompetensi industri.
Huffaz dilihat sebagai bakat strategik negara yang memiliki disiplin kognitif, daya fokus dan kekuatan memori yang signifikan untuk menyumbang dalam bidang kritikal seperti sains, teknologi, kejuruteraan, perubatan, data, Al dan industri halal.

"Seorang huffaz bukan hanya imam di mimbar, tetapi mampu menjadi jurutera, saintis, pakar teknologi, usahawan dan pemimpin masa depan negara," ujar beliau.
Peruntukan RM30 juta bagi IBC MARA ini dijangka memberi impak langsung kepada kebolehkerjaan belia tahfiz, mengurangkan jurang kemahiran serta memperkukuh ekosistem bakat berkemahiran tinggi dan berintegriti untuk pembangunan Malaysia MADANI.