Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

ICJ Putuskan Myanmar Bertanggungjawab Lakukan Genosid Terhadap Etnik Rohingya

Genosid
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague mengadakan pendengaran awam yang memfokuskan kepada kes genosid yang difailkan oleh Gambia terhadap Myanmar. Kredit: United Nations

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), pada Khamis memutuskan bahawa Myanmar bertanggungjawab atas jenayah genosid terhadap etnik Rohingya di negara itu, sekali gus menjadi penghakiman pertama seumpamanya yang mensabitkan sesebuah negara atas jenayah tersebut.

Iklan

Pada akhir prosiding penghakiman selama tiga jam di The Hague, Presiden ICJ, Yuji Iwasawa dari Jepun, turut mengisytiharkan bahawa Myanmar gagal mencegah dan menghukum jenayah genosid yang berlaku terhadap etnik Rohingnya.

Beliau memperincikan bagaimana tentera Myanmar melakukan keganasan melampau terhadap masyarakat Rohingnya yang majoritinya beragama Islam di negeri Rakhine.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menyambut baik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai pengiktirafan penting terhadap mangsa genosid Rohingnya.

Beliau berkata bahawa keputusan tersebut membuktikan keadilan antarabangsa masih berfungsi serta menegaskan bahawa pelaku kekejaman seumpama itu tidak boleh terlepas daripada hukuman.

Guterres turut menekankan bahawa usaha menamatkan budaya bebas daripada hukuman di Myanmar dan memastikan pihak bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan merupakan perkara penting dalam proses perdamaian negara itu.

Penghakiman tersebut menetapkan bahawa pasukan keselamatan Myanmar dan badan-badan kerajaan lain secara sengaja melakukan perbuatan yang dilarang secara khusus di bawah Perkara II Konvensyen Genosid.

Perbuatan tersebut merangkumi:

  • Perkara II(a): Membunuh anggota sesuatu kumpulan.

  • Perkara II(b): Menyebabkan kecederaan serius terhadap tubuh badan atau kesihatan mental anggota kumpulan berkenaan.

  • Perkara II(d): Mengenakan langkah-langkah yang bertujuan menghalang kelahiran dalam kumpulan tersebut.

Penghakiman ICJ itu dibuat selepas mahkamah meneliti bukti grafik, keterangan mangsa yang terselamat serta laporan penyiasat antarabangsa yang mendokumentasikan kemusnahan kampung dan jambatan Rohingnya akibat dibakar serta dirobohkan menggunakan jentolak.

Lelaki dan kanak-kanak lelaki dilaporkan dibunuh, manakala wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi mangsa rogol sepanjang operasi pembersihan ketenteraan di utara Rakhine pada 2017.

“Operasi pembersihan ketenteraan itu turut melibatkan pembunuhan bayi, yang menyokong inferens bahawa pasukan keselamatan Myanmar bertindak dengan niat untuk menghalang kelahiran dalam kalangan kumpulan tersebut,” sambung Hakim Iwasawa.

Menurutnya, tindakan tersebut menyokong kesimpulan bahawa pasukan keselamatan Myanmar mempunyai niat untuk menghalang kelahiran dalam kalangan kumpulan berkenaan.

Ketika menyampaikan penghakiman mahkamah, Presiden ICJ turut menjelaskan bahawa masyarakat Rohingnya yang majoritinya beragama Islam dan menetap di negeri Rakhine, barat Myanmar, telah menjadi sasaran beberapa siri operasi pembersihan oleh tentera kerajaan selepas berdekad-dekad berlakunya konflik antara komuniti.

Operasi pembersihan pada 2017 mencetuskan kecaman meluas masyarakat antarabangsa selepas kira-kira 700,000 etnik Rohingnya melarikan diri dari utara negeri Rakhine merentasi sempadan ke Bangladesh.

Sekumpulan kanak-kanak pelarian Rohingya menghadiri sebuah pusat aktiviti di Cox's Bazar, Bangladesh. Kredit: UNICEF

Berdasarkan bukti yang dikemukakan, mahkamah menganggarkan kira-kira 10,000 orang Rohingnya terbunuh sepanjang operasi tersebut.

Kes berkenaan difailkan oleh Gambia di ICJ pada November 2019 dan menjadi antara prosiding paling mendapat perhatian di mahkamah tertinggi dunia itu.

Keterangan mangsa yang terselamat

Berhubung penghijrahan besar-besaran, pembunuhan beramai-ramai, rogol dan bentuk keganasan seksual lain, mahkamah mendengar keterangan daripada tiga orang saksi yang berasal dari kampung Min Gyi, Chut Pyin dan Maung Nu di negeri Rakhine.

Selain itu, seorang saksi yang dipanggil oleh Myanmar turut memberikan keterangan mengenai satu serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan pemberontak Rohingya, Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), sehingga mengorbankan kira-kira 100 orang awam.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa hampir 400 kampung, iaitu kira-kira 40 peratus daripada hampir 1,000 kampung di tiga kawasan perbandaran di utara negeri Rakhine, telah musnah sebahagian atau sepenuhnya ketika dan selepas operasi pembersihan ketenteraan pada 2017.

“Kerja-kerja meratakan tanah menggunakan jentolak dan pembersihan kawasan secara besar-besaran sering berlaku selepas kemusnahan tersebut.

“Seterusnya, pembinaan pantas dijalankan di tapak-tapak yang telah dibersihkan itu, termasuk pemasangan keselamatan, kampung dan rumah baharu, serta infrastruktur awam yang lain,” jelas Hakim Iwasawa.

Apa yang berlaku seterusnya?

Susulan pelanggaran Konvensyen Genosid tersebut, mahkamah mengarahkan Myanmar menghentikan sebarang pelanggaran yang masih berterusan dengan menggubal undang-undang bagi melaksanakan sepenuhnya kewajipan negara itu di bawah konvensyen berkenaan.

Myanmar turut diarahkan mengambil langkah segera dan berkesan untuk menyiasat semua individu yang mempunyai alasan munasabah untuk disyaki melakukan perbuatan yang bertentangan dengan konvensyen tersebut serta mendakwa dan menghukum mereka sekiranya terdapat asas yang mencukupi.

Selain itu, penghakiman berkenaan mengarahkan Myanmar memberikan jaminan bahawa perbuatan sama tidak akan berulang serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan pelanggaran serupa pada masa hadapan.

Myanmar juga perlu melaksanakan langkah pemulihan demi kepentingan masyarakat Rohingya, termasuk membenarkan pelarian pulang ke tempat kediaman asal mereka dengan selamat, secara sukarela dan bermaruah, selain menyatukan semula keluarga yang terpisah akibat tindakan salah negara itu, sama ada mereka kehilangan tempat tinggal di dalam atau di luar Myanmar.

Myanmar turut diwajibkan membayar pampasan kepada masyarakat Rohingya dan individu yang terjejas atas segala kerosakan serta penderitaan yang dialami.

Mahkamah memutuskan bahawa jumlah dan kaedah pembayaran pampasan atau bentuk ganti rugi lain akan ditentukan dalam fasa prosiding seterusnya.

Sehubungan itu, Myanmar perlu mengemukakan laporan kepada mahkamah dalam tempoh dua tahun dari tarikh penghakiman, yang memperincikan langkah pemulihan yang telah dilaksanakan serta jumlah dan kaedah pembayaran pampasan.

Penghakiman tersebut bersifat muktamad, mengikat pihak-pihak yang terlibat dalam kes berkenaan dan tidak boleh dirayu.

Sumber:UN News
Intipati
  • ICJ memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya dan gagal menghukum pelakunya.
  • Mahkamah menganggarkan kira-kira 10,000 Rohingya terbunuh dalam operasi ketenteraan 2017.
  • Myanmar diarahkan menyiasat, mendakwa pihak bertanggungjawab serta menyediakan pemulihan dan pampasan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan