Impian Kejuruteraan Terkubur Selepas Kemalangan, Kini Wanita Ini Temui Dunia Kek “Custom”
Setiap individu mempunyai hobi tersendiri yang menjadi cara untuk mengisi masa lapang dan melepaskan tekanan.
Ada yang gemar memancing, mengumpul barangan lama, menanam pokok hiasan dan pelbagai lagi aktiviti menarik.
Namun begitu, terdapat juga hobi yang bukan sahaja menyeronokkan, malah mampu mendatangkan keuntungan kepada diri sendiri. Sama ada dalam bentuk pendapatan sampingan mahupun kemahiran baharu yang bernilai.
Siapa sangka, hobi membuat kek yang pada awalnya sekadar suka-suka kini berkembang menjadi perniagaan kek custom yang semakin mendapat tempat di hati pengguna media sosial, khususnya di TikTok dan Instagram.
Dalam segmen ‘Ini Kisah Aku’ kali ini, Siakap Keli berpeluang menemubual anak kelahiran Kluang, Johor yang kini aktif menjalankan perniagaan kek berjenama Bunny Bakery’s.
Burnt Cheesecake, permulaan manis buat Bunny Bakery’s
Nur Amirah Binti Abdul Rahman atau lebih mesra disapa Mira, merupakan seorang pembuat kek sepenuh masa sejak tahun 2021.
Wanita berusia 28 tahun ini merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik dari Politeknik Nilai dan memiliki minat mendalam terhadap pelbagai jenis manisan, khususnya kek yang berhias cantik dengan dekorasi menarik.
Sebelum ini, Amirah tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pembuatan kek, namun dia gigih belajar secara sendiri melalui Youtube sejak tahun 2018 dan hanya mula menjual apabila terdapat permintaan.
Kek pertama yang dijual ialah Burnt Cheesecake untuk kenalan rapat, namun Amirah mula memberi fokus sepenuhnya dan beralih kepada pembuatan kek custom pada penghujung tahun 2023.

“Dalam perniagaan kek custom ini, matlamat utama saya adalah untuk menyajikan kek yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga sedap dan berkualiti tinggi,” katanya.
“Bagi saya, pelanggan berhak menikmati kedua-dua aspek ini. Sebab itulah setiap kek custom yang saya hasilkan ditumpukan sepenuhnya untuk mencapai kepuasan dari segi rasa dan visual,” ujarnya.
Antara kek custom utama Bunny Bakery’s ialah Vanilla Chiffon kek dengan lapisan Strawberry cheese, di mana jem yang digunakan dihasilkan sendiri oleh Amirah.
Selain itu, wanita muda ini turut menawarkan Cheese Pod dengan lima pilihan perisa menarik (Nutella, Nutella Strawberry, Biscoff, Jem Strawberi dan Butterscotch) serta Brownies yang menjadi kegemaran ramai.

“Saya mahu kek yang saya hasilkan boleh dinikmati oleh semua golongan daripada kanak-kanak hingga ke warga emas tanpa sebarang pembaziran,” ujarnya ketika ditemu bual oleh SK.
Menurut Amirah, kisah seorang individu yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan menjadi sumber inspirasi baginya untuk menceburi bidang pembuatan kek sepenuh masa.
“Ketika menonton Majalah 3, saya terkesan dengan seorang individu yang tiada latar belakang dalam bidang robotik. Apa yang mengagumkan saya adalah beliau mampu membina robot tangan hanya dengan belajar melalui YouTube,
“Saya mula sedar bahawa bidang Kejuruteraan Mekatronik bukan mudah, namun menariknya, individu tersebut yang tiada latar belakang kejuruteraan tetap berjaya membina robot tangan hanya kerana minat
“Jadi saya terfikir, apa salahnya saya mencuba dan belajar dalam bidang pembuatan kek walaupun tiada sebarang kemahiran,” kongsinya.

Minat yang mendalam pernah bertukar duka akibat insiden hitam
Ketika menyambung pengajian, dia pernah menjadi pelukis henna separuh masa kerana minatnya yang mendalam dalam bidang tersebut.
“Dahulu, saya sangat meminati seni henna hingga sanggup mencari kedai yang menawarkan perkhidmatan ini, dan dari situlah saya mula belajar dan melatih untuk melukis henna sendiri
“Malah, kenalan terdekat saya turut banyak membantu dengan sudi ‘meminjamkan’ tangan dan kaki mereka ketika saya sedang belajar,” ujarnya.
Ramai mula berminat untuk membuat henna selepas melihat hasil lukisan di tangannya, dan Amirah mula mempromosikan perniagaan ‘Bunny Henna’ sendiri.

“Sewaktu di kolej, sebuah booth usahawan untuk pelajar telah diadakan dan pensyarah saya bertanya sama ada saya berminat untuk menyertainya
“Hari pertama agak perlahan kerana saya hanya mendapat empat pelanggan. Namun, pada hari kedua, saya benar-benar terkejut apabila ramai yang mula beratur untuk mendapatkan khidmat henna daripada saya,” kongsi Amirah lagi.
Difahamkan, perniagaan henna milik Amirah pernah berkembang dengan begitu pesat sehingga menerima banyak tempahan daripada pelanggan.
Bagaimanapun, pada tahun 2017, dia pernah berdepan satu insiden tidak dijangka yang memberi kesan mendalam dalam hidupnya.
“Pada hujung semester, perniagaan saya sedang rancak dengan banyak tempahan. Namun, tiga hari sebelum peperiksaan akhir, saya terlibat dalam kemalangan di persimpangan empat lampu isyarat LBJ
“Saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari dan mengalami kecederaan serius, termasuk pendarahan hati, patah pinggul, patah rusuk, patah jari, gegaran otak, serta pendarahan di bahagian kepala
“Saya juga pernah terlantar selama dua bulan. Apabila doktor memaklumkan bahawa saya tidak lagi disarankan untuk meneruskan perniagaan henna mahupun bidang kejuruteraan, ia menjadi titik paling rendah dalam hidup saya,” jelasnya.

Setiap perniagaan menyimpan kisah suka dan duka tersendiri
Doktor turut menjelaskan bahawa sekiranya Amirah meneruskan perniagaan henna, ia boleh mendatangkan risiko serius terhadap kesihatannya disebabkan kecederaan yang dialami akibat kemalangan tersebut.
Dengan semangat baharu, wanita ini menjadikan minatnya dalam pembuatan kek sebagai medium untuk menyebarkan kegembiraan kepada orang ramai.
Apabila menyentuh tentang pengalaman pahit dalam dunia perniagaan, ibu kepada seorang anak ini tidak menafikan pernah melalui detik sukar.
“Harga bahan kerap naik dan stok tidak menentu, malah kadang-kadang terpaksa pergi ke 4 hingga 5 kedai semata-mata untuk mendapatkan stok, dan membelinya dengan harga jauh lebih tinggi daripada kos biasa
“Ada masanya saya hampir putus asa. Namun, setelah menceburi bidang perniagaan ini, saya tahu saya tidak boleh berhenti separuh jalan
“Apabila kita berhenti seketika daripada membuat kek atau dessert, untuk dapatkan semula teknik dan idea itu memang terasa sukar. Seolah-oleh kita kehilangan ‘sentuhan’ yang pernah ada,” maklumnya.
Bagi wanita ini, setiap proses R&D dijalankan sehingga mencapai hasil yang sebenar-benar memuaskan. Kadangkala, kos kerugian jauh melebihi keuntungan, semata-mata untuk menghasilkan resipi dengan kualiti terbaik

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, ramai kini lebih berhati-hati dalam membuat pembelian.
Jadi, Amirah mengambil pendekatan membantu pelanggan memilih kek atau dessert yang sesuai dengan bajet mereka agar semua tetap dapat menikmati hasil tangannya.
Apabila ditanya mengenai sebarang kenangan manis, Amirah berkongsi pengalaman yang paling membahagiakan sepanjang perjalanannya dalam perniagaan kek.
“Kenangan manis saya dalam perniagaan ini adalah apabila melihat pelanggan berasa gembira dengan hasil tangan saya
“Lebih-lebih lagi apabila mereka memberi maklum balas positif dan berasa puas hati, segala penat lelah yang saya rasai terus hilang sekelip mata
“Seronok apabila dapat membahagiakan orang sekeliling dengan kek yang saya hasilkan, terutamanya apabila dapat menyiapkan kek untuk orang tersayang sempena hari istimewa mereka,” katanya.

Bunny Bakery’s, perjalanan Amirah mengejar cita rasa dan kejayaan
Setiap orang memiliki impian tersendiri, begitu juga dengan Amirah yang berhasrat untuk membuka studio bakeri yang selesa dan mengembangkan lagi perniagaannya ke peringkat lebih tinggi.
“Apapun, perniagaan ini baru permulaan bagi saya. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki dari hari ke hari untuk menghasilkan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Untuk membina satu nama memerlukan proses yang panjang agar kekal relevan, jadi kita perlu percaya pada prosesnya kerana kita bukan gagal, cuma belum berjaya,” jelasnya lagi.

Difahamkan, perniagaan Bunny Bakery’s memiliki sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Sijil Pengendalian Makanan, sijil pendaftaran premis makanan (FoSIM) yang dikeluarkan oleh KKM dan sijil Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS).
Selain itu, Amirah pernah menghadiri kursus kesedaran halal untuk memperkukuhkan pengetahuan dalam penyediaan produk yang mematuhi piawaian halal.
Sekiranya anda berminat untuk menempah kek custom, lawati sahaja Instagram Bunny Bakery’s atau hubungi Amirah di talian 017-7149039