Kerajaan Indonesia mengerahkan 64 pesawat dan 54,394 anggota bagi menangani kebakaran hutan dan tanah di pelbagai wilayah negara itu sejak Ogos lalu, kata Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya, lapor ANTARA.
Indonesia kerah 64 pesawat, 54,394 anggota tangani kebakaran hutan
“Dari udara hingga ke darat, semua sumber yang ada terus dikerahkan. Segala usaha dilakukan untuk memadamkan kebakaran, mengurangkan kesan asap dan paling utama, melindungi masyarakat daripada ancaman kebakaran hutan dan tanah,” katanya.
Dalam hantaran rasmi yang dipetik pada Ahad, Teddy berkata kawasan kebakaran yang luas serta keadaan tanah gambut yang mencabar menjadi antara kekangan utama dalam usaha memadamkan kebakaran.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan terus mengambil langkah sewajarnya bagi menangani keadaan itu.
Daripada jumlah pesawat yang dikerahkan, 55 adalah milik Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), manakala sembilan lagi milik Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (TNI), yang terus menjalankan operasi pengeboman air.
Sementara itu, 54,394 anggota terbabit terdiri daripada anggota TNI, Polis Republik Indonesia (Polri), Kementerian Perhutanan, BNPB, Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), pasukan pemadam kebakaran Manggala Agni, sukarelawan serta penduduk setempat.
Sebanyak 14,759 anggota ditempatkan bagi menjalankan pelbagai operasi memadam kebakaran di Kalimantan Barat, diikuti 14,382 di Riau dan Kepulauan Riau, Sumatera Selatan (11,026), Jambi (5,984), Kalimantan Tengah (4,686) dan Kalimantan Selatan (3,557).
Kebakaran hutan dan tanah dilaporkan berlaku di beberapa wilayah Indonesia ketika negara itu berdepan musim kemarau yang semakin sengit susulan fenomena El Nino.
Kerajaan Indonesia menetapkan enam wilayah sebagai kawasan keutamaan, iaitu Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, Riau, Sumatera Selatan dan Jambi.
Menurut data sistem SiPongi Kementerian Perhutanan yang bersumberkan satelit Terra/Aqua, SNPP dan NOAA-20 milik NASA, sebanyak 1,323 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat 11.59 malam Sabtu (19 Sept), waktu Indonesia Barat (WIB).
Jumlah itu meningkat sebanyak 777 titik panas berbanding 546 yang direkodkan pada Jumaat (18 Sept).


