Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Sahkan Seorang Anggota Pengaman PBB Maut, Gesa Siasatan Telus

Anggota Pengaman PBB
Kredit: AFP

Indonesia Sahkan Seorang Anggota Pengaman PBB Maut, Gesa Siasatan Telus

JAKARTA, 30 Mac (Bernama) -- Indonesia pada Isnin mengesahkan bahawa seorang anggota pengamannya maut manakala tiga yang lain cedera selepas bedilan artileri tidak langsung mengenai satu pos Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di selatan Lubnan.

Kementerian Luar sambil menyampaikan ucapan takziah mendalam kerajaan, berkata Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya insiden itu dan menggesa siasatan rapi serta telus dijalankan.

“Kami amat berdukacita atas kehilangan ini. Kami merakamkan penghormatan tertinggi kepada anggota pengaman yang terkorban atas dedikasi dan khidmat beliau kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Ingatan dan doa kami bersama keluarga mangsa yang terkorban, dan kami mendoakan agar anggota yang cedera segera sembuh,” menurut kementerian itu dalam hantaran di platform X pada Isnin.

Menurut kementerian itu, insiden berkenaan berlaku berhampiran Adchit al-Qusayr pada Ahad malam waktu tempatan, di tengah-tengah permusuhan berterusan antara tentera Israel dan kumpulan bersenjata di kawasan itu.

Terdahulu, UNIFIL memaklumkan bahawa sebutir projektil mengenai satu daripada posnya namun tidak mengetahui dari mana ia ditembak, sambil menambah bahawa satu siasatan telah dilancarkan bagi menentukan keadaan sebenar insiden itu.

Sementara itu, Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa tembakan artileri Israel menyasarkan ibu pejabat kontinjen Indonesia yang berkhidmat dengan pasukan PBB di Adchit al-Qusayr.

Kementerian itu berkata Indonesia sedang bekerjasama dengan UNIFIL bagi memastikan penghantaran pulang segera jenazah anggota pengaman yang terkorban serta rawatan perubatan terbaik kepada anggota yang cedera.

Ia menegaskan bahawa keselamatan dan perlindungan anggota pengaman PBB mesti dihormati sepenuhnya pada setiap masa selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Sebarang tindakan yang memudaratkan anggota pengaman tidak boleh diterima dan menjejaskan usaha kolektif untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan,” menurut kementerian itu.

Indonesia turut mengulangi kecamannya terhadap serangan Israel di selatan Lubnan dan menggesa semua pihak supaya menghormati kedaulatan serta keutuhan wilayah Lubnan, menghentikan serangan terhadap penduduk awam dan infrastruktur, serta kembali kepada dialog dan diplomasi bagi mengelakkan peningkatan ketegangan dan memajukan keamanan.

“Indonesia kekal dalam penyelarasan rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pihak berkuasa berkaitan serta akan terus memantau perkembangan dengan teliti,” menurut kementerian itu.