Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Indonesia Pecat, Tahan Ketua Skim Makanan Percuma

Iqbal Yasir
Indonesia Tahan
Kredit: Antara News

Indonesia Pecat, Tahan Ketua Skim Makanan Percuma

JAKARTA -- Pejabat Peguam Negara (Kejagung) menahan bekas ketua program makanan sekolah percuma Indonesia, Dadan Hindayana semalam selepas inisiatif itu dicemari insiden keracunan makanan besar-besaran dan dakwaan rasuah, sehari selepas beliau dipecat, lapor AFP.

Program Makan Bergizi Percuma(MBG) bernilai berbilion-bilion  dolar yang  digembar-gemburkan itu merupakan manifesto  utama kempen pilihan raya Presiden Prabowo Subianto pada tahun 2024.

Indonesia Tahan Dadan Hindayana

Prabowo memecat Dadan Hindayana, seorang pakar entomologi yang menerajui Badan Pemakanan Negara (BGN) sejak penubuhannya pada Ogos 2024, bersama dua timbalannya pada Selasa.

Ketiga-tiga mereka telah ditahan di Jakarta pada Rabu.

Mereka berdepan tuduhan melakukan Jenayah dalam pengurusan program berkenaan, kata Syarief Sulaeman Nahdi daripada Pejabat Peguam Negara kepada pemberita.

Pihak berkuasa sebelum itu telah menyerbu pejabat agensi pemakanan tersebut serta kediaman ketiga-tiga defendan, kata Syarief.

Kerajaan menyatakan bahawa program itu telah menyediakan makanan kepada lebih 61 million orang menjelang Mac. Namun puluhan ribu orang dilaporkan jatuh sakit sejak ia mula dilaksanakan pada Januari tahun lalu.

Pihak pengkritik telah mendesak agar skim itu digantung berikutan kebimbangan mengenai tahap kebersihan dan dakwaan rasuah.

Bulan lalu, badan pemerhati antirasuah Indonesia Corruption Watch (ICW) telah memfailkan aduan terhadap Dadan dengan memetik dakwaan salah laku dalam belanjawan.

Syarief berkata pada Rabu bahawa yayasan-yayasan yang dilantik oleh ketiga-tiga defendan untuk menyelia kemudahan dapur didakwa telah digunakan sebagai alat untuk melakukan jenayah.

"Yayasan-yayasan tersebut menerima insentif berbilion rupiah setiap hari, dan yayasan-yayasan itu mempunyai kaitan serta dimiliki oleh para suspek," tambahnya.

Ketiga-tiga individu itu juga dituduh menyelia perolehan haram membabitkan motosikal elektrik, kasut, tablet dan set televisyen.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Program Makan Bergizi Percuma (MBG) itu menyasarkan untuk memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 82.9 juta kanak-kanak serta wanita hamil dan ibu menyusu.

Ia merangkumi hampir satu pertiga daripada populasi negara tersebut.

Lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia terkesan dengan masalah bantut yang berpunca daripada kekurangan zat makanan yang teruk.

Program tersebut merupakan antara belanjawan terawal yang dipotong ketika Jakarta mengambil langkah untuk menangani impak ekonomi akibat perang di Timur Tengah.

Dadan, yang baru sahaja menghadiri majlis rasmi bersama Prabowo pada Selasa, memberitahu parlimen tahun lalu bahawa program berkenaan bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 11,000 kes keracunan, dengan lebih 600 orang dimasukkan ke hospital.

Prabowo juga mengakui wujudnya masalah tersebut dan berikrar akan mengambil tindakan tatatertib terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah melakukan salah laku.

Ketika mengumumkan pemecatan Dadan pada Selasa, Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata bahawa "sepanjang proses penilaian yang sedang berjalan ini, semua program Badan Pemakanan Negara akan terus berjalan seperti biasa".

Terdahulu, Program Makan Bergizi (MBG) percuma Indonesia itu mencuri perhatian pertubuhan perdagangan dan industri dari Jepun yang menilai sebagai model dasar kebajikan berskala besar di negara itu, lapor Kompas.com

Sumber:AFP