Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Indonesia Tauliah KRI Canopus-936, Perkukuh Keupayaan Hidro-Oseanografi Tentera Laut
JAKARTA, 18 Feb (Bernama) -- Indonesia secara rasmi mentauliahkan kapal penyelidikan hidro-oseanografi paling canggih, KRI Canopus-936 ke dalam armada Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL), menandakan pencapaian penting dalam pemodenan pertahanan dan peningkatan keupayaan maritim negara itu.
Dibina dalam tempoh 36 bulan melalui kerjasama antara PT Palindo Marine Indonesia dan syarikat pembinaan kapal Jerman, Abeking & Rasmussen, TNI AL menyatakan bahawa Kapal Penyelidik Hidro-Oseanografi (BHO) sepanjang 105 meter itu telah diserahkan secara rasmi di limbungan kapal Abeking & Rasmussen di Lemwerder, Jerman, pada 12 Feb.
"Kapal ini merupakan simbol nyata pemodenan pertahanan serta pengukuhan kerjasama strategik Indonesia-Jerman," menurut kenyataan TNI AL dalam satu hantaran di Instagram.
Dikendalikan oleh 93 kakitangan terpilih, KRI Canopus-936 mengekalkan tradisi menamakan kapal hidro-oseanografi sempena nama bintang - melambangkan panduan bagi pelaut, serta harapan untuk keselamatan dan kepastian dalam pelayaran di laut.
Dilengkapi dengan penderia bawah air yang canggih, kapal itu mampu memetakan dasar laut sehingga kedalaman 11,000 meter dan boleh beroperasi selama 60 hari tanpa henti bagi misi jarak jauh.
Ia juga dilengkapi dengan Kenderaan Bawah Air Tanpa Pemandu (AUV) untuk operasi dalam persekitaran yang ekstrem.
Selain penyelidikan, TNI AL menyatakan bahawa kapal itu akan berfungsi sebagai aset strategik bagi menjamin keselamatan navigasi, melindungi persekitaran marin dan menyokong strategi pertahanan dalam zon ekonomi eksklusif Indonesia.
Majlis pentauliahan itu turut menyaksikan pelantikan Kolonel Laut Indragiri Yani Wardhono sebagai Pegawai Memerintah KRI Canopus-936, sekali gus menandakan kesediaan operasi kapal berkenaan.
Sementara itu, Duta Indonesia ke Jerman, Abdul Kadir Jailani dipetik sebagai berkata bahawa KRI Canopus-936 mewakili lonjakan besar bagi Indonesia.
"Kapal ini bukan sahaja memperkukuh kapasiti TNI AL tetapi juga membuka era baharu kemandirian dalam tadbir urus data maritim Indonesia," katanya.
Beliau berkata kerjasama Indonesia-Jerman dalam projek itu membuktikan bahawa rakan kongsi strategik mampu menghasilkan inovasi nyata untuk keselamatan dan masa depan negara.