Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Indonesia Tolak Sumbangan Beras Diaspora Aceh Di Malaysia
Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian menolak cadangan penghantaran bantuan beras daripada diaspora Aceh di Malaysia kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di wilayah itu.
Kompas melaporkan penolakan tersebut dibuat kerana Indonesia kini berada pada tahap pengeluaran beras yang tinggi.
Pada peringkat awal, komuniti diaspora Aceh di Malaysia bercadang menyalurkan bantuan beras sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan.
Namun, cadangan itu tidak dipersetujui kerana kerajaan berpendapat bekalan beras dalam negara adalah mencukupi dan tidak memerlukan sebarang import tambahan.
“Mereka (diaspora Aceh) ingin menghantar beras, namun kita menolak bantuan tersebut
“Yang diperlukan ketika ini ialah minyak masak dan gula pasir,” kata beliau ketika menghadiri mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pemulihan Pascabencana di bangunan DPR, Jakarta pada Rabu.
Tito turut menjelaskan diaspora Aceh di Malaysia berjaya menghimpunkan pelbagai bentuk bantuan dengan jumlah nilai yang besar.
Antaranya minyak masak, gula pasir, air mineral, makanan segera, pakaian baharu, al-Quran serta kemudahan tandas.
Namun begitu, kesemua barangan tersebut masih 'ditahan' di Pelabuhan Port Klang sementara menunggu proses kelulusan dan pematuhan terhadap peraturan import Indonesia.
Beliau menjelaskan bahawa kemasukan barangan tertentu, seperti minyak masak dan gula pasir memerlukan surat kelulusan daripada kementerian teknikal berkaitan.
Terutamanya Kementerian Pertanian, bagi memastikan ia selaras dengan dasar perdagangan dan perlindungan industri tempatan.
Selain itu, nilai pakaian baharu yang tinggi turut menuntut penelitian lanjut supaya tidak menjejaskan pengeluar tempatan.