Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Infrastruktur, Telekomunikasi Faktor Utama Pacu Sarawak Jadi Negeri Maju

KUALA LUMPUR, 18 Nov- Infrastruktur dan sistem telekomunikasi akan menjadi faktor utama untuk memacu pembangunan Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir berkata peruntukan yang besar daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diperlukan bagi sektor ini dalam usaha menggalak pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

“…dengan adanya infrastruktur dan prasarana yang baik, politik yang stabil dan hubungan etnik harmoni, ini akan dapat menarik pelabur luar untuk menanam modal di Sarawak.

“Sarawak sebenarnya sudah pun berada di landasan yang tepat dari segi ketersediaannya setakat ini,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Sabah Sarawak Maju Bersama’ yang disiarkan secara langsung di Bernama TV, malam ini.

Sarawak menerima perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.5 bilion, antaranya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov lepas.

Selain itu, Jeniri berkata perbelanjaan pembangunan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk merapatkan jurang digital di negeri itu.

“Salah satu masalah yang dihadapi ialah jurang digital kerana akses Internet yang bermasalah, khususnya di kawasan luar bandar, jadi bajet ini adalah wajar kerana kita dapat memastikan jurang digital antara Semenanjung dengan Sarawak, serta bandar dengan luar bandar di negeri ini dapat dirapatkan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah Dr Firdausi Suffian berkata Sabah akan terus kekal memiliki kadar miskin tegar dan pengangguran yang tinggi sekiranya tiada perubahan dilakukan dalam sektor ekonominya, walaupun menerima peruntukan besar dalam setiap belanjawan.

Katanya, Sabah hanya bergantung kepada beberapa sektor sahaja terutamanya pelancongan, eksport bahan mentah dan hiliran yang terhad.

“Sektor hiliran ini adalah yang penting dalam mempelbagaikan ekonomi namun ia terhad, sekali gus menyekat peluang pekerjaan yang menyebabkan kadar pengangguran tinggi,” katanya.

Sabah menerima RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur selain RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo dan pakej lain.

Sumber- BERNAMA